GLADES bersyukur diterima baik di Australia.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Tiga pemuzik dari Australia berketurunan Asia yang digelar Glades ini tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk mencipta nama dalam persada muzik di negara itu.

Karina Wykes selaku vokalis dan pemain gitar, Cam Robertson (multi-instrumentalis, penerbit) dan Joey Wenceslao (multi-instrumentalis, penerbit) juga mengikut kata hati melakukan sesuatu yang dicintai.

Lantas, penerimaan yang semakin baik terhadap muzik mereka adalah pencapaian terbaik buat Glades setakat ini.

Menurut Karina, hal itu melonjakkan semangat mereka untuk terus yakin berkarya.

“Sokongan yang kami terima sejak memulakan karier sebenarnya sangat luar biasa. Sokongan itu berterusan daripada pelbagai pihak sehinggakan kami sendiri berasa sangat kerdil dan dihargai.

“Setiap kali membuat persembahan di mana-mana, semuanya meninggalkan kenangan istimewa buat kami. Bukan saja daripada peminat bahkan stesen radio di sana turut memberikan kami ruang,” katanya.

Bagaimanapun, bagi mereka kejayaan terbesar sepanjang karier sejak tiga tahun lalu adalah karya mereka terjual.

Pengaruh mereka juga semakin luas dan makin ramai peminat bersungguh-sungguh menyokong setiap lagu mereka.

“Paling penting adalah penerimaan pendengar dari tempat asal kami di sana. Mereka memang bersungguh menyokong dan membeli muzik kami.

“Terus terang, kami memang tidak sangka akan sampai ke tahap itu. Bahkan, kini kami berpeluang membuat persembahan di pelbagai lokasi yang kami mampu angankan saja selama ini.

“Lebih menyeronokkan adalah dapat berjumpa sendiri dengan peminat yang memang penyokong kuat kami. Pertemuan sebegitulah yang sebenarnya mengingatkan kami bahawa perjuangan selama ini tidak sia-sia,” katanya.

Berkongsi mengenai sisi muzikal mereka pula, Glades mengambil pendekatan untuk menggabungkan imaginasi dan pengalaman hidup dalam penulisan lagu.

Selain itu, cetusan idea masing-masing turut diambil serius bagi mendapatkan hasil yang jauh lebih memuaskan hati selain segar.

“Pertama sekali, kami memang akan sentiasa terbuka dengan pelbagai muzik terkini. Adalah sangat penting untuk kami kekal segar dalam karya sekali gus memberikan refleksi terhadap muzik kami.

“Lagu kami juga ditulis berdasarkan cerita yang berlaku dalam hidup. Kami juga suka campur aduk pelbagai perspektif dan hal peribadi.

“Kami suka gabungkan imaginasi dan pengalaman agar impaknya lebih terasa. Walaupun tampil dengan idea berbeza, kami pasti akan mengambil kira semua itu demi menguatkan lagi sesuatu karya,” katanya ketika ditemui apabila mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 11:36 AM