Kecik mahu turunkan berat badan pula. FOTO RZR
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


VOKALIS baru kumpulan Kristal, Kecik menafikan dakwaan segelintir pihak dirinya pernah mengambil bahan terlarang ketika tubuhnya kurus sebelum ini.


Kecik (tengah) bersama kumpulan Kristal. FOTO Ihsan Kecik

Menurut pemilik nama sebenar, Muhammad Fauzi Kamaruddin, 24, dia juga terpaksa menambah berat badannya kerana berasa tekanan dengan cakap-cakap orang yang tidak berasas itu.

“Bukan saja saya yang tekanan, ahli keluarga di kampung juga berasa risau bila ada pihak yang menyebarkan cerita tidak betul iaitu saya kurus kerana mengambil dadah.

“Saya juga banyak makan pada waktu malam hingga berat badan meningkat kepada 69 kilogram sekarang. Sedangkan berat badan asal ialah 55 kilogram dulu,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, kata bekas vokalis Hyper Act ini mengakui berasa tidak selesa dengan pertambahan berat badannya sekarang.

“Saya juga berasa pelik bila berat badan naik, ramai pula orang yang menegur kenapa saya gemuk dan tidak menjaga penampilan pula sekarang?

“Apapun, saya memang mahu turunkan sedikit berat badan kerana semua baju sudah tidak boleh kancing dan tidak muat lagi,”katanya.

Pada masa sama, kata Kecik, dia juga diminta anggota Kristal lain untuk menurunkan berat badan supaya lebih bertenaga di pentas.

“Saya juga merancang untuk kembali bermain bola dan futsal untuk mendapatkan berat badan lebih sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 5:34 PM