GELAGAT pelakon melakukan aksi penyiksaan ngeri.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


KELIBAT wajah seram di mana-mana. Tidak cukup dengan itu, ketika berada di suatu kawasan pula kedengaran raungan mangsa diseksa tanpa belas kasihan dan dikerumuni orang ramai.

Apabila melangkah masuk dalam bilik tertentu dan hanya bertemankan cahaya lampu malap, kelihatan si badut berwajah seram menyergah penuh girang. Ketika itu juga kedengaran suara pengunjung bertempik ketakutan dan berpegangan sesama sendiri.

Situasi seram dan menakutkan itu menjadi tema utama dalam karnival tahunan Sunway Lagoon iaitu Night of Fright 6 di taman tema yang terletak di Petaling Jaya, Selangor itu.

Dalam acara memasuki tahun keenam itu, terdapat beberapa ruangan seram dan menakutkan disediakan untuk pengunjung antaranya Wendigo-The Lagend In The Mist, Phobia: Coulphobia-The Fear of Clowns, Slaughterhouse 13 dan Zombie Zoo.

Meskipun karnival yang berlangsung hingga 31 Oktober ini mempunyai sisi penuh mendebarkan, ia tetap mencuri perhatian pengunjung.

Pengalaman penulis berada di sana ketika acara pelancarannya pada 28 September lalu, karnival itu mendapat sambutan sangat menggalakkan dan difahamkan 4,000 pengunjung memenuhi taman tema itu.

Malah, Sunway Lagoon sebagai penganjur menjangkakan 64,000 pengunjung menghadiri acara berkenaan dalam tempoh 16 malam ia diadakan. Acara itu berlangsung bermula jam 7.30 malam hingga 11.30 malam setiap Jumaat hingga Ahad.


PELBAGAI jenis hantu tersedia di Sunway Lagoon dalam Night of Fright 6.

Pengurus Besar Sunway Lagoon Sean Choo berkata, demi menjadikan siri tahunan itu lebih menarik, kakitangannya bekerja keras bagi mencapai tahap ‘ketakutan’ dan ‘debaran’ diinginkan pengunjung setia karnival berkenaan.

“Sambutan sangat menggalakkan ini mendorong kami mempelbagaikan tarikan dan memperincikan jenis ‘ketakutan’ yang biasa dihadapi pengunjung.

“Tidak sekadar memaparkan elemen ketakutan daripada pelbagai filem seram terkenal di seluruh dunia, malah karnival ini turut menampilkan elemen mistik dalam kalangan masyarakat tempatan,” katanya.

Sebuah ruang yang dikenali sebagai Jampi, memberi peluang kepada pengunjung berjumpa ahli sihir Salem, dukun Melayu, ahli sihir India dan ahli sihir Cina dengan aksi ‘memuja’ dan membaca ‘mantera.’

Anda yang ingin merasai sendiri pengalaman yang menakutkan ini, harus mempersiapkan mental sepenuhnya. Ini kerana ia pasti akan menjadi satu pengalaman yang ‘menghantui’ tidur malam anda.

Jadi, apa lagi ayuh! kunjungi karnival ini dengan bayaran RM69 seorang. Bagaimanapun, Nights of Fright 6 hanya terbuka untuk mereka yang berusia 12 tahun ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 3:50 AM