Zainun mengacau bubur lambuk pada program Bubur Lambuk Pengikat Kasih anjuran Kem PLKN Desa Rimba, Sauk, Kuala Kangsar di Masjid Ar-Rahmaniah, Sauk.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Sebanyak 1,000 bungkusan bubur lambuk berjaya disediakan oleh 300 ahli Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dengan kerjasama penduduk kampung sebelum diagihkan ke 13 kampung sekitar daerah itu.

Semua ahli BSKN yang juga bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekitar negeri ini turun padang menyantuni masyarakat kampung dalam program Bubur Lambuk Pengikat Kasih di Masjid Ar-Rahmaniah, Sauk, di sini, kelmarin.

Program dianjurkan atas inisiatif Kem PLKN Desa Rimba itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat selain bertujuan membentuk sahsiah diri peserta yang rata-ratanya terdiri daripada kalangan belia.

Pengarah PLKN negeri, Komander TLDM Wan Zarihan Wan Ismail berkata, program itu bagi membuka jalan kepada aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan tanpa mengira kaum dalam kalangan bekas pelatih PLKN di negeri ini.

“Sebelum ini, bekas pelatih lebih gemar melakukan aktiviti kemasyarakatan secara menyendiri tanpa melalui satu badan khas yang menyelenggara aktiviti mereka dan saya lihat inisiatif yang dilakukan secara kerjasama strategik sebegini adalah langkah baik dalam menyemai semangat kesukarelawanan.

“Setakat ini, ada 79,728 bekas pelatih PLKN yang beralamat di Perak dan hanya 49,636 pelatih yang berdaftar secara rasmi sebagai ahli BSKN di mana saya harapkan melalui program ini ia sekali gus dapat menarik lebih ramai penyertaan aktif daripada kalangan bekas pelatih PLKN di negeri ini,” katanya ketika ditemui dalam program itu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor.

Pada program itu, bubur lambuk diagihkan kepada wakil daripada 13 kampung terbabit selain turut diagihkan ke dua bazar Ramadan di pekan berhampiran.

Agihan dilakukan secara berkumpulan yang memerlukan peserta memasuki perkampungan yang terbabit menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disediakan atas inisiatif pihak penganjur bersama kelab yang dianggotainya untuk diedarkan dari rumah ke rumah.

Sementara itu, Zainun berkata, penganjuran program sedemikian sangat baik dalam mengekalkan tradisi zaman-berzaman oleh masyarakat Melayu beragama Islam di negara ini sepanjang Ramadan yang turut membabitkan penyertaan berbilang agama.

“Saya gembira melihat peserta bertungkus-lumus sewaktu memasak bubur bersama penduduk kampung memandangkan bukan senang melihat generasi muda menggembleng tenaga melakukan perkara yang kebiasaannya menjadi rutin generasi senja.

“Semangat kesukarelawanan sebegini sememangnya patut diterapkan tambahan pula ia dapat membabitkan penyertaan di luar sempadan agama dan bangsa sekali gus dapat menjaga keharmonian antara kaum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 9:20 AM