ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa.
Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

Kuala Lipis: Seorang remaja lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya berpusing dan melanggar besi penghadang jalan selepas melanggar lopak air di Kilometer 37 Lebuhraya Central Spine Road berdekatan Aur Gading, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa Wan Arsyad Rafiuddin Wan Azeze, 13, dari Kampung Lundang, Kota Bharu, Kelantan yang juga pelajar tahfiz Darul Furqan, Sungai Buloh, Selangor mati serta-merta di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Azry Akmar Ayob berkata, pemandu kereta Mohd Shaiful Anuar Abd Rahman, 34, berasal dari Kampung Jambu, Kelantan hanya mengalami cedera ringan.

“Dua lagi penumpang warga Thailand iaitu Master Subhi Yamu, 13, dan Master Simi-un Hasunoh, 14, masing-masing parah lalu dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, seorang lagi penumpang yang juga anak Mohd Shaiful iaitu Mohd Zakir Azkar, 2, tidak cedera.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan ke arah Kuala Lumpur dari Kelantan sebelum kereta dipandu Mohd Shaiful melanggar lopak air sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan.

“Ketika kejadian keadaan cuaca hujan dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis yang tiba di tempat kejadian mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 9:33 AM