CEF Norzailina mewakili negara untuk kelas masakan seperti di Jepun, Brunei dan Singapura.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Kuala Lumpur:Berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang kulinari serta menulis 70 buku masakan dan 32 novel menjadikan cef selebriti, Norzailina Md Nordin, 55, bukan calang-calang wanita berdasarkan pencapaian diraih hingga dikenali di luar negara.

Menggunakan nama pena Norzailina Nordin, dia berjaya menghasilkan buku masakan seperti dim sum, kerabu, kudapan, masakan nyonya, masakan Thai dan sebagainya hingga dipanggil menjadi cef konsultan di sebuah restoran di Singapura serta menjadi pensyarah di sebuah kolej.

Norzailina berkata, selain cef selebriti, dia juga penulis novel dengan menghasilkan 32 karya antaranya Antologi Cerpen, Semarak Rindu, Menanti Kasih, Sedetik Ilusi, Ulam Kasih Sambal Cinta dan Anak Lorong.

“Menulis sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya, tidak kira buku masakan atau novel, ia tetap sama iaitu saya perlu menjiwai dan menerapkan kasih sayang dalam setiap masakan serta penulisan.

“Berikutan pencapaian ini, saya kerap dipanggil mewakili Malaysia antaranya kelas memasak untuk empat pengusaha restoran Melayu di Jepun, Kelas Memasak LeApple Brunei dan yang terbaru sebagai cef konsultan di Singapura,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran 12 buku masakan terbarunya, baru-baru ini.

Wanita berasal dari Bentong, Pahang ini mula memasuki kerjaya itu pada 1992 apabila bermula dengan pertandingan memasak, seterusnya melebarkan sayap mencipta pelbagai resipi mengikut ‘tekak’ rakyat Malaysia.

“Kemudian saya dipanggil menjadi panel, cef selebriti untuk beberapa program masakan, seterusnya menerbitkan buku masakan sendiri yang pertama iaitu Juadah Istimewa Musim Perayaan pada 2001.

Katanya, apa yang lebih istimewa, bukan saja masakan Melayu, dia juga mahir masakan dari negara luar seperti Korea, China dan masakan Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 9:46 AM