Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


Kuala Nerus: “Setiap yang berlaku tertulis sejak kita dilahirkan dan nasib saya ujian Allah yang perlu dilalui dengan reda serta tabah apabila mula hilang penglihatan ketika usia menjangkau 28 tahun walaupun dilahirkan normal,” kata Mohd Fauzi Mansor, 46, dari Kampung Seberang Takir, di sini.

Mohd Fauzi berkata, dia menyedari penglihatannya semakin merosot pada hujung 1999 berikutan objek dilihat menjadi kabur sedikit demi sedikit sebelum cuba mendapatkan rawatan pakar.

Katanya, doktor memaklumkan dirinya menghidap Retimitis Pigmentosa iaitu masalah berkaitan retina mata dan akan mengalami buta sama ada dalam tempoh singkat atau jangka masa panjang.

“Ketika itu saya menyandang jawatan sebagai Pegawai Juruaudit Dalaman Jabatan Canselori Universiti Sains Malaysia (USM), tetapi hanya mampu berkhidmat selama dua tahun enam bulan berikutan masalah penglihatan.

“Saya menamatkan perkhidmatan pada 2000 selepas dinasihatkan ketua jabatan ketika itu berikutan pekerjaan saya membabitkan pengauditan yang mungkin berisiko berlaku kesilapan.

“Walaupun ia ujian berat, tetapi Allah lebih mengenali hambanya. Walaupun bakal cacat penglihatan, tetapi tunang saya ketika itu yang kini menjadi isteri saya sanggup menerima saya sebagai suaminya,” katanya yang kini menyandang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu.

Menurutnya, isterinya Norashimah Mohamed, 44, ahli keluarganya dan keluarga mentua banyak membantu, selain merestui perkahwinan mereka walaupun menyedari ketika itu dia akan kehilangan penglihatan.

Katanya, dia kini hilang penglihatan hampir 18 tahun, tetapi bersyukur dikurniakan dua cahaya mata dan isteri yang kini juga bekerja sebagai pengarah kewangan sebuah syarikat swasta serta keluarga yang baik.

“Ketika mula-mula hilang penglihatan, saya terfikir bagaimana mahu mencari nafkah buat keluarga kerana isteri ketika itu tidak bekerja dan perlu mencari pekerjaan bagi menyara keluarga.

“Namun, sebaik mendengar perkhabaran PERTIS ingin menambah keahlian menyebabkan saya menyertai persatuan berkenaan dan kini mempunyai lima sijil berkaitan urutan, malah sering dijemput sebagai tenaga pengajar di Kolej Komuniti dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

“Sepanjang memimpin PERTIS Wilayah Terengganu, saya berpuas hati kerana keahlian menjangkau 310 orang dan dengan bilangan pelajar kelas al-Quran braille hanya lima orang ketika dimulakan kira-kira lima tahun lalu kini jumlahnya bertambah kepada 45 pelajar dengan tujuh guru,” katanya.

Menurutnya, cacat penglihatan bukan halangan untuk berjaya dan dia akan berusaha membawa rakan senasib untuk mengecapi tahap kehidupan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 10:02 AM