Rosnaliza menunjukkan telinga Habib yang cedera dalam kejadian samun di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


Port Dickson: “Sebelum kejadian, saya baru menyalakan lilin untuk memotong kek hari lahir tunang. Tidak semena-mena dua lelaki meragut beg tangan sebelum membelasah bakal suami,” kata peniaga, Rosnaliza Rozli, 31, yang kerugian lebih RM2,500 akibat diragut dua lelaki di Taman Cahaya Negeri, di sini, semalam.

Rosnaliza berkata, pada kejadian 12.30 tengah malam, dia bertandang ke kawasan rekreasi itu bagi meraikan hari lahir tunangnya, Habib Ishak, 23, dengan membawa kek.

Peniaga bazar Ramadan Taman Politeknik itu berkata, ketika berada di pentas utama dua lelaki bermotosikal datang ke arah mereka dan bertanya laluan jalan.

“Seorang daripada lelaki itu kemudian meragut beg tangan saya mengandungi telefon bimbit serta pelbagai dokumen. Nasib malang menimpa tunang apabila seorang lagi suspek mengeluarkan besi dan melibas ke arah kepalanya,” katanya.

Menurut Rosnaliza, tunangnya yang juga pengawal keselamatan berdarah di kepala dan suspek melarikan diri menunggang motosikal Honda EX5.

Katanya, akibat insiden berkenaan, dia kerugian RM2,500 termasuk wang tunai RM1,500.

“Sebaik kejadian berlaku, saya menjerit meminta tolong namun lelaki terbabit menghilangkan diri. Saya membawa tunang mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson dan membuat laporan di Balai Polis Port Dickson,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Adzli Abu Shah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, keadaan di lokasi yang terang berikutan ada lampu limpah namun kamera litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 10:05 AM