NORBAYZURA belajar resipi masakan pantai timur dengan ibu mentuanya.
NORBAYZURA membungkus makanan dipesan pelanggan.
Garret Datum
garret@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Hidangan nasi kerabu dan nasi dagang lengkap dengan lauk istimewa seperti gulai ayam kampung dan daging bakar menjadi tarikan di Bazar Ramadan Kampung Sungai Penchala, di sini.

Keistimewaan juadah berkenaan yang disajikan oleh penjualnya Norbayzura Mhd Sani, 35, yang dijual dengan harga RM4.50 sehingga RM6.50 setiap satu.

“Saya sediakan pelbagai set untuk dipilih pengunjung seperti gulai ayam, ayam kampung, itik, ikan tongkol dan daging bakar.

“Persiapan dilakukan seawal jam 9 pagi sebelum berniaga di bazar Ramadan,” katanya ketika ditemui di gerainya.

Bercerita berkenaan keenakan resipi dalam juadah yang disediakan, Norbayzura berkata, ia dipelajari daripada arwah ibu mentuanya.

“Saya bukan orang pantai timur, tetapi suami berasal dari Kelantan dan arwah ibunya banyak mengajar saya berkenaan resipi nasi dagang dan nasi kerabu.

“Bagi menyedapkan masakan, rempah khas juga didatangkan dari Kelantan dan daging bakar yang dibuat perlu diperap semalaman.

“Malah, ikan tongkol yang digunakan juga adalah ikan tongkol hitam (tuna) kerana kelembutan dagingnya,” katanya yang sudah berniaga selama tujuh tahun bersama suami Mohd Zahadi Mushtapa, 36.

“Bantuan dan latihan yang diberikan Coca-Cola KU memberikan idea kepada saya untuk lebih berdaya saing serta kreatif melalui jualan makanan berkualiti, penetapan harga dan pembungkusan menarik, sekali gus meningkatkan nilai jualan.” - Norbayzura

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 10:09 AM