PENDUDUK mencedok dodol cair yang siap dimasak menggunakan kayu api.
TAN (kanan) dan Chandran (kiri) tidak melepaskan peluang bersama-sama mengacau dodol.
Norizzah Baharudin
am@hmetro.com.my

Jasin: “Saya tidak pernah buat dodol sendiri, tetapi sentiasa ternanti-nanti acara ini kerana seronok bercampur dengan masyarakat lain untuk sama-sama mengacau dodol,” kata pemandu lori Tan Teck Sing, 45, yang memeriahkan Festival Kuih Tradisional Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, di sini, kelmarin.

Tan berkata, dia sememangnya suka bercampur dengan masyarakat Melayu untuk mengetahui cara sebenar memasak dodol melalui program itu setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Dodol, ketupat dan rendang adalah juadah paling saya nanti-nantikan setiap kali Aidilfitri, namun saya tahu sukar dan penat untuk menyiapkan dodol kerana banyak tenaga diperlukan untuk menyiapkan satu kawah dodol yang mengambil masa sehingga tujuh jam.

“Masa mula ikut serta membantu mengacau dodol, saya fikir juga mungkin akan dihalau kerana bukan berbangsa Melayu, namun andaian saya silap apabila dilayan baik, malah berpeluang menikmati dodol yang siap dimasak.

“Saya suka dengan makanan tradisional masyarakat Melayu lain termasuk kuih baulu, kuih bakar dan kuih bangkit, selain sering berkunjung ke rumah rakan Melayu untuk menikmati ketupat, rendang serta kuah kacang pada hari pertama Aidilfitri,” katanya yang hadir ke program itu bersama isteri dan anak tunggal perempuan berusia 10 tahun.

Pemandu van kilang A Chandran, 52, dari Taman Maju, di sini, berkata dia sering mendapatkan kuih tradisional Melayu di kedai pada bila-bila masa sekali gus menyifatkan festival berkenaan sebagai peluang menyaksikan sendiri pembuatannya.

“Ini kali pertama saya melihat cara memasak dodol dan ternyata ia bukan sesuatu yang mudah kerana bahang panas daripada kayu api selain kesukaran untuk mengacau apabila dodol semakin likat,” katanya.

Katanya, dia sudah dibiasakan dengan hidangan kuih-muih tradisional Melayu sejak kecil menyebabkan tidak rasa pelik untuk dinikmati sebaliknya mengundang rasa teruja untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Wira Ghazale Muhammad berkata, sebanyak 14 kawah dodol membabitkan 13 kampung dimasak sempena festival berkenaan untuk disumbangkan kepada 70 keluarga asnaf di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim sempena Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, festival kali kelima dianjurkan mendapat sambutan baik daripada masyarakat kerana turut memasak kuih tradisional lain seperti baulu, kuih ros dan denderam serta bubur lambuk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 10:12 AM