PINTU masuk laluan bawah tanah ke gereja.
BANDAR lama di tengah kota Sarajevo.
ORANG ramai berjalan melepasi Gereja Sacred Heart di Sarajevo, Bosnia.
Shuhada Mansor
am@hmetro.com.my


Bosnia Herzegovina: Jika 22 tahun lalu, penduduk Bosnia hidup derita dalam peperangan, kini kota Sarajevo lebih tenang dengan pembangunan yang masih tidak terlalu pesat.

Mengimbau sejarah perang Bosnia berakhir pada 1995, ia antara konflik terbesar dalam sejarah.

Ramai orang awam yang majoriti umat Islam di Bosnia diseksa dan dibunuh dengan kejam sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat dunia.

Liputan media yang meluas dipaparkan menerusi televisyen dan suratkhabar menarik perhatian banyak pihak untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa perang khususnya mereka yang kehilangan keluarga dan tempat tinggal.

Kini, walaupun lebih sedekad perang berakhir, sisa pertempuran masih boleh dilihat di Sarajevo iaitu ibu kota Bosnia Herzegovina.

Apabila disebut ibu kota, kita pasti membayangkan kesesakan lalu lintas, kesibukan dan bangunan pencakar langit, tapi berbeza di sini, suasana kotanya boleh dikatakan tidak ubah seperti Malaysia 20 tahun lalu.

Tidak banyak bangunan tinggi bahkan mereka lebih selesa membaik pulih bangunan lama untuk digunakan semula.

Ruang pejabat, sekolah, deretan kedai dan apartmen masih mengekalkan ciri lama berbentuk sama tanpa diwarnakan cat.

Bezanya di sini atau negara Balkan secara keseluruhan, boleh dikatakan pada setiap hujung minggu semua kedai akan ditutup. Mereka menganggap hari cuti adalah masa untuk rehat diluangkan bersama keluarga.

Meskipun penduduk
di Sarajevo direkodkan sekitar 600,000 orang, namun anda masih dapat merasakan suasana santai
di tengah-tengah bandar ini.

Lebih 3.4 juta penduduk Bosnia lain tinggal kawasan bukit dan kampung.

Berpeluang berkongsi kisah peperangan bersama dua generasi berbeza di sini sedikit sebanyak memberi gambaran kepada saya bagaimana keperitan penduduk Bosnia menjalani kehidupan pada waktu itu.

Dejo Cokic, 30, berkata, walaupun waktu peperangan dia baru berusia lapan tahun, tapi segalanya masih segar dalam ingatan.

Kekecohan, pertumpahan darah dan sebagainya.

“Saya masih ingat lagi, saya disorokkan di rumah ibu saudara jauh dari kota Sarajevo kerana rumah kami di sini sudah tak selamat. Setiap hari saya dengar berita kematian malah ada keluarga yang turut terbunuh dalam konflik ini.

“Jujurnya boleh dikatakan masih trauma dan bagi setiap rakyat Bosnia, kami berharap semoga peperangan itu adalah yang terakhir di sini,” katanya.

Pembangunan di sini perlahan memandangkan rata-rata penduduknya masih hidup dalam trauma.

Bangunan dan masjid berjaya dibangunkan semula namun tidak semua diperbaiki memandangkan ia membabitkan kos tinggi.

Menurut sumber, sebanyak 614 masjid musnah akibat peperangan di seluruh Bosnia dan 367 dibina kembali hasil bantuan luar yang kebanyakannya diterima daripada kerajaan Turki.

Sepanjang di sini, apa yang boleh saya simpulkan adalah masjid sebagai rumah ibadat diberi keutamaan untuk dibangunkan kembali atas sumbangan organisasi luar termasuk Malaysia.

Lebih membanggakan apabila saya diberitahu, dua masjid yang ada di kota ini diberi nama Masjid Malaysia terbina dengan kerjasama kerajaan Bosnia.

Bukan itu saja, dua sekolah turut dibina selain jambatan moden yang direka berkonsepkan seakan-akan di Putrajaya.

Jika hanya memfokuskan Sarajevo, kawasan Grbavica adalah lokasi paling teruk terjejas akibat perang.

Difahamkan, ia adalah kawasan ‘panas’ dan juga paling jauh askar Chetniks dan nasionalis Serb berjaya tawan di kota ini.

Justeru jika ke sini, anda masih dapat melihat bekas tembakan di dinding bangunan, tingkap dan struktur rumah yang rosak kekal seperti mana sebelumnya walaupun hampir dua dekat peperangan berakhir.

Meskipun tidak pernah melalui era peperangan, saya percaya, setiap pelancong atau sesiapa pun yang ke sini pasti tersentuh apabila melihat kesan kerosakan dan apa saja yang berkaitan dengan malapetaka itu.

Tambahan lagi jika kita mendalami sejarah mengenainya yang mana dianggarkan lebih 100,000 orang terbunuh, seramai 2.2 juta kehilangan tempat tinggal dan 12,000 hingga 20,000 wanita dirogol yang rata-ratanya daripada etnik Muslim Bosniak. Bosnia Herzegovina antara negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, tidak terkecuali keunikan sejarah dan sisi lainnya yang penuh pengisian dan keinsafan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:49 AM