KESAN darah mangsa di rumahnya di Jalan Cempaka, Taman Air Bemban.
HM Digital

Kulai: Seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kelar pada leher di dapur rumahnya dipercayai dibunuh anak lelakinya dalam kejadian di Jalan Cempaka, Taman Air Bemban, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mayat wanita berusia 69 tahun berkenaan ditemui anak lelaki bongsunya dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

Difahamkan, anak lelakinya itu baru saja pulang dari tempat kerja di Singapura sebelum bergegas membuat laporan polis.

Wanita itu cedera di bahagian muka dan leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Razak Md Said berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menahan anak lelaki mangsa yang berusia 30 tahun jam 1 petang semalam di sekitar kawasan rumahnya.

“Hasil semakan mendapati suspek pernah menjalani rawatan mental di Hospital Tampoi, Johor Bahru dan motif kejadian disiasat,” katanya.

Sementara itu, seorang jiran mangsa berkata, wanita berkenaan tinggal di rumah itu dengan suaminya yang sedang sakit bersama dua orang lagi anak lelakinya.

“Anak bongsunya bekerja di Singapura manakala yang sulung itu tidak bekerja sejak tahun lalu.

“Kami juga memang selalu mendengar keluarga ini bergaduh dan jiran juga tahu anak sulungnya itu selalu mengamuk di rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:12 AM