BAYI yang diberi nama Dinesh kini di bawah jagaan JKM.
HM Digital

Seremban:Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencari ibu atau waris seorang bayi lelaki yang dibuang di kuil di Senawang, 17 Oktober lalu.

Bayi malang yang dipercayai baru sebulan dilahirkan itu ditemui orang awam ditinggalkan di kawasan itu sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Pegawai JKM Seremban Mustafa Bakri Mohamad Yusof berkata, bayi terbabit ditinggalkan bersama pakaian dan beberapa kelengkapan namun tiada sebarang dokumen ditemui.

“Bayi itu diselamatkan dan dihantar ke hospital sebelum dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah penjagaan sementara.

“JKM memberikan nama Dinesh bagi membuat sijil kelahiran dan perintah penjagaan mengikut Seksyen 25(2), Akta Kanak-Kanak 2001 untuk ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat ibu bayi itu diminta menghubungi JKM Seremban di talian 06-6015798.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 8:55 AM