Nor Aleeyah
HM Digital

Kuala Lumpur: Tiga bayi yang menghidap komplikasi jantung memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM60,000 setiap seorang bagi membiayai kos pembedahan di Pusat Perubatan Hospital Gleaneagles, di sini.

Semua bayi berkenaan, Nor Aleeyah Sayeeda Azril berusia setahun dari Keramat, Kuala Lumpur, L Shailendra Bahadur berusia dua bulan dari Rawang, Selangor dan Hannah Ong Zi Han berusia setahun dari Sungai Buloh, Selangor mengalami masalah jantung berlubang (VSD) sejak dilahirkan dan perlu menjalani pembedahan segera.

Ibu Nor Aleeyah, Noor Syafiqah Samsulbahri, 25, berkata, anak keduanya bukan saja menghidap penyakit jantung berlubang, malah turut mengalami saluran injap paru-paru sempit, lelangit sumbing (sumbing dalam) serta masalah buah pinggang bengkak.

“Saya mendapat tahu Nor Aleeyah menghidap jantung berlubang selepas empat hari melahirkannya ketika seluruh badannya bertukar menjadi kebiru-biruan dan pernafasannya kuat hingga mengeluarkan bunyi aneh pada bahagian jantung,” katanya.

Manakala bapa kepada Shailendra, Lachamanan Teck Bahadur, 33, berkata, dia buntu mencari wang bagi menampung kos pembedahan anak keduanya berikutan hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala isterinya, Ana Marfuah, 28, tidak bekerja.

Lachamanan berkata, sebaik membuat pemeriksaan, doktor mendapati jantung Shailendra bengkak serta berlubang yang mana bayinya perlu ditempatkan ke unit rawatan rapi (ICU) hingga kini untuk pemeriksaan serta pembedahan.


Shailendra

Sementara itu, ibu kepada Hannah, Sia Meng Choo, 39, berkata, bayinya dikesan menghidap jantung berlubang dan saluran injap paru-paru sempit ketika di dalam kandungan.

“Ketika mengandung lima bulan, doktor mengesyaki bayi saya menghidap penyakit berkenaan selepas menjalani ujian diagnosis di Hospital Serdang,” katanya.

Katanya, anaknya dijadual menjalani pembedahan selepas Tahun Baru Cina ini tetapi hingga kini dia dan suami, Ong Hun Boon, 38, masih buntu mencari wang bagi menampung kos pembedahan itu.


Hannah

Sumbangan kepada ketiga-tiga keluarga ini boleh disalurkan menerusi tabung MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND di akaun Maybank 514105323170.

Cek juga boleh dihantar ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atas nama pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 4:17 AM