FARRA Dafina (tiga dari kiri) menerima sumbangan disampaikan Mas Imran (empat dari kanan) sambil diperhatikan Sinuan (tiga dari kanan) dan wakil pertubuhan bukan kerajaan.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Kulai: “Harapan saya supaya kami bertiga pindah ke tempat tinggal lain kerana saya khuatir anak jatuh sakit disebabkan stor tempat kami tinggal kini menjadi tempat tikus bersarang,” kata pesakit jantung, Farra Dafina Maidin, 40.

Farra Dafina berkata, sekurang-kurangnya lima hingga enam tikus berkeliaran di stor berkenaan pada waktu siang, manakala pada waktu malam haiwan perosak berkenaan ‘berpesta’ termasuk kerap mencemari bekalan makanan.

Dia bimbang mereka sekeluarga terdedah kepada jangkitan kencing tikus sekiranya terus tinggal di stor simpanan bahan binaan itu.

“Tetapi saya tidak mempunyai sumber kewangan atau kekuatan untuk mencari rumah sewa serta berpindah.

“Mengikut laporan Unit Kardiologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) denyutan jantung saya hanya 25 peratus iaitu amat lemah dan saya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan pada bila-bila masa.

“Saya bukan tidak bersyukur dengan ihsan kenalan membenarkan tinggal di sini, cuma saya berharap kami berpindah ke persekitaran lebih sesuai demi masa depan anak,” katanya yang tinggal di stor berkenaan di Kampung Baru Senai.

Farra Dafina berkata, tambahan pula dia semakin bimbang dengan keselamatan anak perempuannya kerana sering diganggu pekerja warga asing yang semakin ramai mendiami kawasan sekitar.

“Saya bimbang mereka terdedah dengan pengaruh negatif sekiranya terus tinggal di sini,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Kampung Melayu Senai Utama Sinuan Harun, Ahli Majlis Perbandaran Kulai Lew Yew Lee dan wakil Persatuan Amal Permata Takzim (Papeta).

Hadir sama untuk menyampaikan sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 ialah Pengurus Operasi Econsave Cash And Carry Mas Imran Adam.

Sementara itu, Sinuan berkata, pihaknya berharap ibu tunggal berkenaan berpindah ke kediaman lebih selesa dan selamat kerana persekitaran tempat tinggal berkenaan boleh mengundang masalah tidak diingini.

“Sistem pendawaian di stor berkenaan difahamkan tidak teratur dan bumbung premis berkenaan juga bocor.

“Saya berharap pelbagai pihak membantu keluarga berkenaan berpindah dan merujuk masalah mereka kepada agensi berkaitan bagi tindakan sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:14 AM