DR Abdul Wahab (tengah) bermesra bersama anak-anak Kompleks Penyayang Tun Dr Siti Hasmah pada Program Sekolah @ UKM di UKM, Bangi.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

Bangi: Tidak sampai sehari didedahkan dengan kepelbagaian ilmu sains, membuatkan Mohd Amir Darus, 15, ingin berusaha memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek berkaitan.

“Selama ini saya hanya mengetahui ilmu sains ketika belajar di dalam kelas, namun pengalaman berada di sini sungguh menyeronokkan.

“Saya tertarik dengan aktiviti membina kereta elektrik yang boleh dihasilkan daripada bahan kitar semula jadi seperti penutup botol air, penyedut minuman dan batang aiskrim,” katanya yang ditemui di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin di Jejawi, Perlis ini antara sebahagian daripada 30 pelajar daripada Pertubuhan Kebangsaan Anak Yatim Perlis yang berpeluang mengikuti lawatan tiga hari dua malam ke FKAB, UKM, Bangi.

Bagi Nur Syakirah Ayob, 15, dari SMK Tuanku Lailatul Shahrin, berasa teruja dan seronok mengutip pengalaman ketika berada di sana.

“Kami didedahkan dengan pelbagai hukum sains seperti hukum Newton dan menyelusuri kegemilangan ahli sains Islam yang terkenal seperti Ibnu Sina, Al Khindi dan Al Biruni.

“Pensyarah juga turut menceritakan kepentingan sains yang menyumbang dalam kehidupan seharian, pembinaan, kejuruteraan dan perindustrian,” katanya yang meminati bidang robotik.

Menurut Nur Syakirah, meskipun meminati bidang sains, dia terpaksa melupakan hasrat mahu mengikuti kelas sains di sekolah apabila berada di Tingkatan 4 kerana memikirkan kesukaran mata pelajaran itu seperti yang dicanang rakan sebayanya.

Sementara itu, Dekan FKAB Profesor Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, fakulti itu diberi tanggungjawab untuk mendedahkan anak-anak yatim dari Perlis ini untuk mengenali sains dengan lebih dekat.

“Tahun lalu mencatatkan hanya 18 peratus pelajar berminat untuk mengikuti bidang sains di Institusi Pengajian Tinggi Awam berbanding 20 hingga 30 peratus pada 2016 dalam aliran yang sama.

“Senario tidak sihat ini perlu ditangani segera kerana negara masih memerlukan daya usaha dan tenaga daripada saintis dan pelapis muda dalam bidang sains,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:28 AM