HAKIM yang menghadiri Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Mahkamah khas bagi mengendalikan kes pemerdagangan orang ditubuhkan pertengahan tahun ini dengan projek rintis bermula di Klang, Selangor.

Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif berkata, berdasarkan statistik kes berkaitan pemerdagangan orang dilihat meningkat sekali gus memerlukan mahkamah khas mengendalikannya.

“Dengan adanya mahkamah khas ini, menumpukan sepenuhnya kes pemerdagangan orang malah, daripada pengalaman lalu, kes seperti ini dikendalikan dengan baik.

“Kes pemerdagangan orang perlu dilupuskan segera kerana kadangkala, ada saksi dalam penahanan jadi perlu dipercepatkan,” katanya pada sidang media Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Beliau berkata, penubuhan mahkamah khas itu bagi mengelakkan perjalanan kes daripada tertunggak.

“Sewaktu penubuhan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak sebelum ini, kami melaksanakan secara projek rintis sebelum diperluaskan ke negeri lain.

“Kami melihat kepada statistik, misalnya jika ada peningkatan kes pemerdagangan orang di negeri tertentu, kami menubuhkan mahkamah khas ini menerusi fasa seterusnya,” katanya.

Berhubung Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak, beliau berkata, bermula Julai hingga Disember tahun lalu, 287 kes daripada 357 kes yang didaftarkan dilupuskan.

Menurutnya, hingga tarikh 31 Disember lalu, 70 kes belum selesai dan angka yang diperolehi itu menunjukkan 80.4 peratus kes dilupuskan dalam tempoh satu tahun selepas penubuhan mahkamah khas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:42 AM