PENUNTUT UTHM menyertai program tanaman semula pokok bakau.
Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my

Johor Bahru: Hutan bakau yang tumbuh di pesisir pantai barat Semenanjung mempunyai peranan penting dari segi ekonomi, alam sekitar, kesinambungan flora dan fauna serta hidupan laut di negara ini.

Ia bukan saja menjadi lokasi pembiakan ikan, kerang, udang dan ketam malah bertindak sebagai penampan ombak bagi mengelak hakisan akibat kesibukan jalan laut Selat Melaka sejak lebih 50 tahun lalu.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Air dan Persekitaran, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Mohd Adib Mohammad Razi berkata, peranan hutan bakau amat penting menyebabkan pelbagai usaha dilakukan pelbagai pihak untuk memelihara dan memulihara kesinambungan hutan berkenaan.

“Peranan paling penting hutan bakau sebagai penampan ombak yang mana pokok bakau matang mempunyai akar besar untuk mengikat struktur tanah, sekali gus menjadi benteng pemecah ombak terutama di pesisir pantai barat Semenanjung berikutan jumlah kapal yang melalui Selat Melaka terlalu banyak.

“Selain itu, hasil kajian mendapati ia menjadi lokasi pembiakan pelbagai spesies ikan, anak ketam, kerang dan udang kerana kedudukannya yang terlindung dari haiwan pemangsa serta ombak yang kuat.

“Tanpa hutan bakau, kita dapat lihat beberapa kawasan di daerah Batu Pahat dan Muar terhakis dengan teruk hingga perkampungan hilang akibat ombak kuat dan ia bukan saja merugikan dari segi ekonomi, malah mengurangkan jumlah tanah,” katanya.

Menurutnya, dari segi pelancongan pula, Taman Negara Tanjung Piai, Pontian, antara tarikan utama pelancong kerana kedudukannya di hujung benua Asia selain dipenuhi pokok bakau.

Katanya, Taman Alam, Kuala Selangor, Selangor mempunyai banyak burung yang berhijrah secara bermusim ke kawasan berkenaan untuk berehat sebelum memulakan perjalanan mereka ke kawasan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:44 AM