Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (duduk) dan Azmy (tengah) melawat pusat pemindahan.
HM Digital

Pekan: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan terus menempatkan anggota bersama kenderaan pengangkut di daerah ini sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir sekiranya berlaku.

Ketua Pesuruhjaya APM Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya berkata, sebelum ini ketika kemuncak bencana banjir terdapat lebih 1,200 anggota bertugas 24 jam bagi membantu memindahkan mangsa.

Katanya, anggota dari beberapa negeri yang tidak terbabit dengan banjir seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan dipanggil untuk memberi bantuan di negeri ini.

Menurutnya, selain bertanggungjawab memindahkan mangsa, anggota APM turut terbabit menguruskan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penduduk kampung.

“Selain menyediakan pelbagai jenis kenderaan termasuk lori, kita turut membekalkan bot ‘amfibia’ bagi memudahkan proses memindahkan mangsa banjir dengan jumlah yang ramai dalam satu masa.

“Setiap kali bencana banjir berlaku di negeri ini, APM menyediakan pasukan khas bagi membantu mangsa banjir di daerah ini, kita ingin memastikan operasi menyelamat berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya ketika melakukan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:56 AM