Siti Fatimah Nasir
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ibu kepada Pengarang Eksekutif Harian Metro Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein meninggal dunia akibat kanser usus di kediamannya di Kampung Melayu Sungai Sering, Bukit Antarabangsa, semalam.

Allahyarham Siti Noor Ab Rahman, 78, yang uzur sejak enam bulan lalu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.35 malam (kelmarin).

Sebelum ini, Allahyarham pernah dirawat dan dimasukkan ke Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Wangsa Maju di sini, sebelum dibawa pulang ke rumah dua minggu lalu selepas keadaannya kembali stabil namun lemah.

Tuan Asri yang juga anak kelima daripada enam beradik berkata, beliau menerima panggilan mengenai keadaan ibunya yang tenat malam tadi (kelmarin) daripada kakak iparnya sebelum bergegas pulang.

“Walaupun bersedih namun kami reda kerana arwah pergi menghadap Ilahi dalam keadaan baik. Alhamdulillah semua berjalan lancar.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada adik-beradik dan sanak-saudara yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan ibu sepanjang hayatnya termasuk menjaga arwah sepanjang hayatnya,” katanya ketika ditemui di Masjid Bukit Antarabangsa, Ampang di sini, semalam.


TUAN Asri (empat kanan) menaburkan bunga di atas pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Batu Caves.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada sahabat handai yang menzahirkan ucapan takziah terhadap seluruh ahli keluarga.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Bukit Antarabangsa selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak (Taman Selaseh), Batu Caves.

Allahyarham meninggalkan lima anak lelaki dan seorang anak perempuan, 27 cucu serta empat cicit.

Turut hadir menziarah jenazah Allahyarham ialah Pengerusi Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Tan Sri Ismail Omar, Pengarang Kumpulan NSTP Datuk Yushaimi Maulud Yahaya, Pengurus Besar Digital, Pembangunan dan Perniagaan NSTP, Azizi Othman, Pengarang Eksekutif Projek Khas NSTP Othman Mamat dan bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 5:43 AM