Sumber: Portal My Health

Sumbing adalah rekahan atau celahan yang terjadi pada struktur bibir atau lelangit atau kedua-duanya sekali. Ia terjadi apabila struktur muka tidak bercantum sepenuhnya pada peringkat janin. Pada peringkat awal kehamilan, bahagian muka mulanya akan terbentuk secara berasingan dan akan bercantum kemudiannya bagi membentuk bahagian yang lain.

Jika terdapat kegagalan ketika proses tersebut, maka sumbing boleh berlaku. Sumbing bibir dan lelangit boleh terjadi secara berasingan atau bersama. Sumbing merupakan antara kecacatan yang paling kerap terjadi iaitu satu dalam 500 kelahiran. Sumbing juga boleh memberi kesan terhadap pendengaran.

Rekahan pada lelangit menjadikan kanak-kanak sukar untuk makan atau minum. Mereka perlu mengikuti tatacara yang betul sewaktu sesi penyusuan. Mereka akan menelan lebih udara sewaktu penyusuan dan menyebabkan susu mudah memasuki rongga hidung atau telinga tengah.

Disebabkan campuran makanan dan minuman melalui telinga atau hidung, bayi lebih mudah mendapat jangkitan pada telinga dan mengalami kesan kurang pendengaran sementara.

Masalah jangkitan pada telinga ini turut dikenali sebagai ‘Otitis Media with Effusion’. Ia biasa berlaku dalam enam bulan pertama selepas kelahiran semua bayi dan semakin kerap terjadi pada kanak-kanak yang bermasalah sumbing.

Selain itu, masalah jangkitan telinga juga berpunca daripada ketidakfungsian tiub yang berada di ruang antara telinga dan tekak. Otot-otot yang bertanggungjawab mengawal pergerakan tiub bagi tujuan keseimbangan udara menjadi kurang efektif kerana faktor lelangit yang tidak terbentuk secara normal sewaktu dalam kandungan.

Keadaan pengudaraan yang kurang baik telah menyebabkan gegendang telinga menjadi tegang dan berlaku percampuran bendalir ke dalam ruang telinga tengah. Jangkitan pada telinga menyebabkan bayi atau kanak-kanak mengalami kurang pendengaran.

Bagaimanapun, hal ini lazimnya bersifat sementara. Tahap pendengaran bagi kanak-kanak sumbing yang bermasalah pendengaran adalah sekitar tahap ringan hingga sederhana, terjadi sama ada pada kedua-dua belah atau satu telinga saja.

Namun, terdapat beberapa kes terpencil membabitkan masalah pendengaran menjadi kekal. Oleh itu, pengesanan awal adalah penting agar ia tidak mengganggu perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak.

Secara keseluruhan, kanak-kanak yang mempunyai sumbing lelangit dan bibir secara unilateral menunjukkan prevalens jangkitan telinga yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak tanpa sumbing.

Bagi kanak-kanak yang mempunyai kedua-dua jenis sumbing, kajian menunjukkan sebanyak 90 hingga 93 peratus antara mereka yang mempunyai masalah jangkitan telinga tengah turut mempunyai masalah pendengaran jenis sementara.

Manakala tahap pendengaran yang ditunjukkan juga adalah lebih tinggi dengan purata tahap pendengaran berada pada tahap ringan. Tahap pendengaran kanak-kanak bermasalah sumbing dikatakan lebih teruk berbanding kanak-kanak normal yang turut mempunyai masalah jangkitan telinga.

Masalah pendengaran ini boleh berlarutan sehingga dewasa pada 20 hingga 30 peratus dalam kalangan mereka dengan disertai bermasalah pendengaran jenis sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 12:00 AM