Dr Hanafiah

Telinga dalam manusia berfungsi untuk menghantar impuls bunyi ke saraf pendengaran juga untuk keseimbangan badan. Radang pada bahagian telinga dalam atau labirintitis ialah salah satu punca berlakunya pening atau vertigo.

Vertigo yang berpunca daripada radang atau jangkitan telinga dalam membabitkan ratusan ribu manusia setahun di seluruh dunia. Dalam kebanyakan kes, tiada punca utama dikenal pasti. Kebiasaannya disebabkan jangkitan virus selepas demam selesema biasa.

Jangkitan bakteria juga boleh menyebabkan labirintitis. Selain jangkitan, radang boleh berlaku akibat kecederaan kepala, tekanan, perubahan tekanan udara seperti dalam pesawat, alahan dan juga kesan sampingan akibat pengambilan ubat.

Simptom utama radang telinga dalam atau labirintitis ini ialah pening atau vertigo. Pesakit juga akan mengalami loya atau muntah. Telinga akan berdesing dan ada kalanya pendengaran serta keseimbangan badan juga boleh terjejas.

Biasanya tiada tanda fizikal dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan klinikal. Simptom yang diberi oleh pesakit dapat membantu kemungkinan pesakit mempunyai radang telinga dalam. Ujian darah dan imbasan pula dilakukan untuk memastikan tiada punca lain yang menyebabkan pesakit mempunyai simptom berkenaan.

Dalam kebanyakan kes, 95 peratus daripada pesakit akan pulih seperti sedia kala. Akan tetapi mengambil masa yang lama, mungkin sehingga enam minggu. Ada juga yang masih mengalami gangguan vertigo sekali sekala lepas waktu itu.

Rawatan khas dan ubat perlu diambil untuk tempoh masa yang panjang untuk memastikan ia pulih sepenuhnya. Rawatan susulan oleh pakar saraf dan pakar hidung, telinga serta tekak (ENT) perlu dilakukan untuk memastikan tiada komplikasi lain atau penyebab lain vertigo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 12:00 AM