Dr Mohamed Rafi Feisal dan Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim
am@hmetro.com.my


Ujian pemeriksaan pendengaran bayi baru lahir boleh mengenal pasti bayi yang mengalami hilang pendengaran. Ini bermaksud ibu bapa boleh mendapatkan sokongan dan nasihat dari awal lagi.

Mengikut kajian di United Kingdom, hampir dua bayi dalam setiap 1,000 akan lahir dengan kehilangan pendengaran kekal pada satu atau kedua-dua belah telinga.

Ia meningkat ke satu dalam setiap 100 bayi yang menghabiskan lebih daripada 48 jam dalam rawatan intensif. Kebanyakan bayi ini dilahirkan dalam keluarga tanpa sejarah berkaitan masalah ini.

Kehilangan pendengaran kekal boleh menjejaskan perkembangan bayi. Mengetahui masalah ini lebih awal dapat memberi bayi ‘nafas baru’ untuk mengembangkan kemahiran berbahasa, pertuturan dan komunikasi.

Bilakah ujian pendengaran dibuat?

Jika bersalin di hospital swasta, anda mungkin ditawarkan ujian pendengaran sebelum pulang ke rumah. Ia boleh dilakukan oleh pengamal perubatan bertauliah, pembantu penjagaan kesihatan atau pelawat kesihatan dalam beberapa minggu pertama.

Sebaiknya, ujian itu dilakukan dalam tempoh empat hingga lima minggu pertama tetapi ia boleh dilakukan sehingga umur bayi mencecah tiga bulan.

Bagaimana ujian dibuat?

Ujian ini dipanggil ‘automated otoacoustic emission (AOAE)’. Ia hanya mengambil masa beberapa minit. Alat pendengaran yang lembut dan kecil diletakkan di telinga bayi anda dan bunyi ‘klik’ lembut dimainkan.

Apabila telinga menerima rangsangan bunyi, bahagian dalaman (koklea) akan bertindak balas. Tindak balas ini dapat dikesan menggunakan mesin saringan yang ada. Selalunya tidak mudah untuk mendapatkan bacaan yang tepat pada saringan pertama. Ini berlaku kepada semua bayi yang lahir, dan tidak bermakna bayi anda mengalami kehilangan pendengaran yang tetap.

Ia boleh membawa maksud bahawa bayi anda tidak selesa ketika ujian dilakukan, ada gangguan bunyi bising dari luar, bayi anda mempunyai cecair atau telinga tersumbat.

Dalam kes ini, bayi akan diberikan ujian kedua yang menyerupai ujian pertama atau ujian lain seperti ‘automated auditory brainstem response (AABR).

Ujian AABR membabitkan tiga sensor kecil diletakkan di kepala dan leher bayi. Alat pendengaran kecil dan lembut akan diletakkan di atas telinga bayi dan bunyi ‘klik’ dimainkan. Ujian ini mengambil masa antara lima hingga 15 minit. Ujian ini selamat dan tidak membahayakan bayi anda.

Adakah perlu jalani ujian?

Sangat disyorkan tetapi anda tidak perlu menerimanya. Sekiranya anda memutuskan tidak mahu bayi menjalani pemeriksaan saringan, dapatkan senarai semak untuk membantu anda memeriksa pendengaran bayi ketika mereka meningkat usia. Sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan, anda harus bercakap dengan pakar kesihatan yang berkenaan.

Bila dapat keputusan?

Anda akan diberikan keputusan ujian pendengaran bayi sebaik sahaja ujian dilakukan. Jika bayi anda mempunyai tindak balas yang jelas di kedua-dua telinga, mereka tidak mungkin kehilangan pendengaran secara tetap.

Apa maksud bayi dirujuk pada pakar pendengaran?

Sekiranya keputusan pemeriksaan pendengaran tidak menunjukkan tindak balas yang jelas daripada satu atau kedua-dua telinga bayi, janji temu akan dibuat dengan pakar pendengaran di klinik audiologi.

Sekiranya ini berlaku, ia tidak semestinya bayi anda kehilangan pendengaran. Pakar pendengar harus melihat bayi anda dalam masa empat minggu dari ujian pendengaran.

Adalah sangat penting anda menghadiri janji temu sekiranya bayi anda mengalami kehilangan pendengaran secara tetap. Ahli audiologi biasanya menerangkan keputusan pada akhir janji temu. Mereka akan menjelaskan hasil untuk pendengaran bayi dan pada masa sama, apa ujian lanjut diperlukan.

Apa maksudnya bayi mengalami kehilangan pendengaran kekal?

Jenis dan tahap kehilangan pendengaran kekal berbeza. Kehilangan pendengaran setiap bayi juga berbeza. Ada banyak sokongan dan maklumat, termasuk risalah mengenai pelbagai jenis kehilangan pendengaran mahupun kepakaran pada masa kini yang serba canggih dan berteknologi tinggi. Berjumpalah doktor demi masa depan anak anda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 12:02 AM