Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Berdasarkan kajian Pusat Penyelidikan Klinikal Perak, kematian akibat lemas ialah insiden kemalangan tertinggi selepas jalan raya dengan kira-kira 500 golongan berusia satu hingga 18 tahun setiap tahun.

Bukan itu saja, statistik 2015 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan kira-kira 360,000 kematian akibat lemas menjadikan ia kemalangan ketiga tertinggi kematian akibat kecederaan yang tidak disengajakan membabitkan populasi dunia.

Justeru kedatangan musim monsun serentak dengan musim cuti sekolah, semestinya lokasi percutian mahupun pusat rekreasi air menjadi tumpuan orang ramai sekali gus memungkinkan risiko tinggi untuk kejadian lemas apabila kurang perhatian baik ibu bapa mahupun orang awam terhadap kemalangan itu.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Hospital Columbia Asia, Dr Hanafiah Bashirun, masa dan tempoh kemalangan menjadi penanda aras terhadap keselamatan serta kesihatan mangsa.

“Lemas berlaku apabila seseorang itu tidak dapat bernafas disebabkan aras mulut dan hidung tenggelam ke dalam air. Dalam situasi lemas biasanya, air disedut memasuki rongga mulut dan paru-paru, ini menyebabkan jumlah tisu paru-paru yang berfungsi untuk menyerap oksigen berkurangan. Semakin lama seseorang itu tenggelam, semakin banyak air di dalam paru-paru dan semakin kurang oksigen dapat diserap.


AIR memasuki mulut dan paru-paru ketika tenggelam.

“Akhirnya, semua tisu paru-paru akan ditenggelami air dan tiada oksigen yang dapat disedut lagi. Dalam keadaan itu, semakin kurang bekalan oksigen sampai ke tisu badan terutama jantung dan otak. Akhirnya jantung tidak dapat mengepam darah dan seterusnya kematian terjadi akibat tisu otak mati.

“Penting untuk memahami jika mangsa dapat diselamatkan pada peringkat awal, kebarangkalian tisu badan untuk kembali berfungsi adalah tinggi. Ada juga mangsa yang mengalami kerosakan organ badan mengejut menyebabkan mereka koma dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, risiko kematian lemas berbeza bagi golongan dewasa mahupun kanak-kanak atau mereka yang mempunyai sejarah penyakit respiratori.

“Kanak-kanak akan lebih mudah lemas disebabkan oleh ketinggian mereka. Mereka juga lebih cepat mengalami masalah sesak nafas disebabkan saiz paru-paru yang secara relatifnya lebih kecil berbanding orang dewasa. Oleh itu kadar kematian mangsa kanak-kanak adalah lebih cepat.

“Faktor lain mangsa yang mempunyai sejarah asma dan juga mempunyai jangkitan paru-paru seperti pneumonia menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk berbanding orang biasa.” katanya.

Insiden lemas tidak sekadar memberi kesan kepada fungsi organ dan fizikal mangsa semata-mata, elemen lain seperti mental atau psikologi turut terkesan kerana insiden itu.

“Bagi mangsa yang pernah hampir lemas, mereka mungkin mengalami trauma dan biasanya takut untuk pergi ke kawasan berair seperti sungai, laut, taman tema air dan paling kritikal bilik mandi,” katanya.

Dr Hanafiah berkata, tiada perkara lebih penting buat mangsa lemas melainkan bantuan kecemasan dalam memastikan kelangsungan dan keselamatan nyawa.

“Dalam kes lemas, bantuan perlu diberikan dengan segera. Tidak boleh dilengahkan kerana tiga minit tanpa oksigen, sel otak akan mati. Apabila sel otak mati, bermakna mangsa juga akan mati.

“Biasanya dalam usaha menyelamatkan mangsa lemas ada prosedur standard boleh dijadikan panduan buat orang awam. Ketika ini ilmu mengenai Resusitasi Kardio Pulmonari (CPR) cukup penting untuk membantu mangsa,” katanya.


BANTUAN kecemasan CPR menyelamatkan mangsa hampir lemas.

Prosedur standard selamatkan mangsa lemas

• Keluarkan mangsa dari kawasan kejadian sepantas mungkin.

• Bawa mangsa ke kawasan selamat terlebih dulu. Jika lokasi banjir, pastikan tiada objek berbahaya pada permukaan sebagai contoh wayar elektrik mahupun objek tajam.

• Periksa nadi pada tengkuk dan pernafasan pesakit sebelum bantuan dimulakan.

• Penyelamat yang mempunyai pengetahuan pertolongan cemas atau CPR perlu salurkan segera bantuan tekanan dada dan mulut ke mulut jika perlu. CPR perlu dilakukan dengan berterusan agar aliran darah ke jantung dan juga oksigen tidak terhenti sehingga paramedik tiba di tempat kejadian.

• Bergilir-gilir ketika melakukan CPR kerana prosedur ini boleh memenatkan. Lebih ramai yang melaksanakannya, lebih mudah kerja menyelamat mangsa.

• Jangan lupa membuat panggilan kecemasan agar bantuan paramedik dapat dihantar dengan cepat.

• Perlu diingatkan orang awam bertindak sebagai penyelamat perlu mengutamakan keselamatan diri terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 12:04 AM