PROGRAM pemindahan hati kerjasama dua hospital beri lebih pilihan rawatan kepada pesakit hati.
KEMEROSOTAN fungsi berlaku apabila lebih 75 peratus sel rosak.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Hati adalah organ dalaman terbesar manusia yang menjalankan beberapa fungsi kritikal tubuh termasuk pengeluaran protein, pembekuan darah, penapisan darah daripada bahan toksik, proses metabolisma kolesterol dan zat besi serta pengeluaran hempedu.

Oleh itu, apabila penyakit seperti hepatitis A, hepatitis B, hepatitis C, hati berlemak, penyalahgunaan alkohol dan zat besi berlebihan menjejaskan hati, ia menyebabkan kerosakan pada organ ini. Seterusnya mengakibatkan komplikasi yang lebih serius iaitu kegagalan fungsi hati termasuk kematian jika penyakit hati berada di peringkat akhir.

Hati menerima bekalan darah daripada dua sumber iaitu arteri hepatik yang membekalkan darah beroksigen ke hati yang dipam dari jantung, manakala vena portal membawa darah mengandungi nutrien dari usus kecil ke hati.

Selain sebagai organ dalaman tunggal terbesar, hati juga bertindak sebagai kelenjar berikutan ia menghasilkan dan merembeskan hempedu. Hati juga satu-satunya organ dalaman yang boleh dijana semula menerusi penghasilan sel.

Kehilangan fungsi hati menyebabkan kerosakan ketara pada tubuh. Kemerosotan fungsi organ ini berlaku apabila lebih 75 peratus selnya rosak. Oleh itu, penghidap penyakit hati yang menderita kegagalan hati akut atau kronik memerlukan rawatan pemindahan hati bagi mengelak risiko tinggi mendapat komplikasi atau kematian.

Pemindahan hati adalah prosedur pembedahan bagi membuang hati yang sudah tidak lagi berfungsi dan menggantikannya dengan organ yang sihat daripada penderma. Di Malaysia, pemindahan hati dijalankan di Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).

Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Datuk Dr Mahendra Raj berkata, pesakit hati di negara ini yang memerlukan pemindahan hati berdepan cabaran berikutan kadar penderma organ yang rendah.

Sejak 2012, sebanyak 80 pembedahan pemindahan hati dilakukan di negara ini dengan kebanyakan organ diperoleh daripada penderma yang meninggal dunia.

“Pesakit hati kronik memerlukan pemindahan organ berkenaan berikutan kerosakan yang berlaku dalam tempoh lama dengan kecederaan berterusan dan berulang akibat penyakit berkaitan hati yang lazim.

“Namun, terdapat juga punca penyakit hati yang jarang berlaku seperti sirosis hati (sirosis biliari primer), radang dan kerosakan pada saluran dalaman hati (sklerosis kolangitis primer) dan penyakit hati autoimun iaitu sel menyerang sendiri hati.

“Hati yang rosak secara kronik akan menjadi keras dan mengecut. Ini menjejaskan fungsi hati dan menyebabkan jaundis (kekuningan), kemerosotan memori dan keliru (enselopati), kaki dan abdomen membengkak dan pembekuan darah yang tidak baik,” katanya.

Katanya, peringkat sirosis membabitkan hati yang mengeras meningkatkan rintangan darah untuk mengalir menerusi hati mengakibatkan komplikasi seperti muntah darah, najis berdarah dan cecair dalam abdomen. Namun, peringkat paling buruk penyakit sirosis adalah pembentukan kanser hati.

“Pemindahan hati adalah penawar bagi semua masalah sirosis dengan menggantikan hati yang rosak dengan hati yang sihat. Namun, pembedahan pemindahan hati hanya akan dilakukan apabila risiko komplikasi dan kematian sangat tinggi.

“Kini, pesakit hati di negara ini berpeluang mendapatkan pilihan rawatan termasuk pemindahan hati menerusi Program Hati Global Pantai-Gleneagles yang dijalankan dengan kerjasama PHKL dan hospital di India, Gleneagles Global Health City,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program berkenaan dengan matlamat untuk menawarkan pesakit hati di negara ini dengan pengurusan komprehensif penyakit terbabit di India, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Parkway Pantai Malaysia, Joe Sim; Ketua Pegawai Eksekutif Parkway Pantai India, Ramesh Krishnan dan Pengarah Institut Penyakit Hati dan Pemindahan Gleneagles Global Health City, Profesor Dr Shamsudin Mohamed Rela.

Gleneagles Global Health City memiliki pasukan kepakaran pemindahan hati paling berjaya di dunia dengan lebih 350 pembedahan dijalankan setahun. Kadar kelangsungan hidup bagi pesakit dewasa yang menjalani pemindahan hati adalah 86.6 peratus, manakala pediatrik (kanak-kanak) adalah 91 peratus.

Menurut Dr Shamsudin, program pemindahan hati kendalian pihaknya adalah yang terbesar di India dan kerjasama itu membolehkan lebih ramai pesakit hati yang menderita teruk akibat penyakit berkenaan mendapatkan bantuan sewajarnya.

“Kami optimis program ini yang dibarisi panel pakar akan mencetus gelombang kesedaran dalam kalangan pesakit dan penjaga mereka. Malah, kami berharap dapat membantu mengurangkan beban penyakit hati di Malaysia menerusi program penderma organ hospital kami.

“Dalam program kerjasama ini, pesakit akan dinilai dan diperiksa tahap penyakit mereka di PHKL. Pesakit yang memerlukan pemindahan hati akan diterbangkan ke India untuk tindakan lanjut,” katanya.

INFO:

SIMPTOM PENYAKIT HATI TAHAP AKHIR

- Pengumpulan cecair dalam abdomen (Ascites)

- Jangkitan cecair abdomen (Spontaneous bacterial peritonitis)

- Kemerosotan fungsi buah pinggang dan hati (Hepatorenal Syndrome)

- Muntah darah, najis hitam akibat pendarahan dari perut dan usus

- Keliru, lambat berfikir (Hepatic encephalopathy)

SIMPTOM PENYAKIT HATI

- Jaundis

- Pengumpulan cecair dalam abdomen

- Kesan menggaru

- Hati bengkak

- Limpa bengkak

- Kaki bengkak

- Gula darah rendah

- Hiperpigmentasi

- Saluran darah jelas pada kulit

SIMPTOM PENYAKIT HATI KRONIK

- Hilang selera makan

- Letih, lemah

- Jaundis

- Kulit menjadi gelap kehitaman

- Kaki membengkak

- Pergerakan lambat

- Abdomen membengkak

- Cenderung berdarah

- Muntah darah

- Pertuturan lambat

- Episod kekeliruan

- Sakit abdomen, demam dan muntah akibat jangkitan

SIMPTOM KEGAGALAN HATI AKUT

- Jaundis

- Sensori berubah

- Kegagalan darah untuk membeku

- Kegagalan buah pinggang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 4:16 AM