HERMANSEN (dari kiri), Timbalan Presiden Pembangunan Perniagaan AJ Vaccines Niels Thulstrup, Cabannes, Dr Tabassum, Pengarah Pembangunan Perniagaan Hilleman Nitin Mittal dan Dr Davinder ketika pengumuman program kerjasama pembangunan vaksin.
HM Digital

Pengeluar vaksin pertama Malaysia, AJ Biologics Malaysia (AJB Malaysia) mengumumkan kerjasama antarabangsa membangunkan vaksin meningokokus dalam menangani lima daripada enam serogroup (pentavalen) yang bertanggungjawab terhadap sebahagian besar kes jangkitan meningokokus invasif baru-baru ini.

Kerjasama antarabangsa diketuai AJB Malaysia itu turut menyaksikan penyertaan Hilleman Laboratories (HL) termasuk usaha sama antara MSD dan Welcome Trust bersama Vaksin AJ (AJV) iaitu pengeluar vaksin yang berpangkalan di Denmark dengan lebih 100 tahun kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin.

Kerjasama itu memberi impak besar apabila vaksin gen dihasilkan di Malaysia itu akan menjadi vaksin meningokokus pertama di dunia yang dibangunkan sebagai vaksin bebas komponen haiwan.

Kesan penting mengenai penemuan vaksin itu bukan saja membantu menaik taraf kemampuan vaksin selaku perlindungan kepada virus terbabit, ia juga menjadi penyelesaian dilema pertikaian membabitkan penggunaan vaksin berkenaan di negara majoritinya penduduk Islam.

Ketua Pegawai Operasi AJ Biologics Malaysia, Jerome Cabbannes berkata, penemuan vaksin satu revolusi penting dalam kajian vaksin yang memberi manfaat besar kepada ramai pengguna melangkaui sempadan global.

“Kami gembira menjadi sebahagian daripada sejarah dengan kerjasama ini. Keupayaan vaksin memberi perlindungan lebih besar bagi pengembara dan unsur komponen bebas haiwan pada vaksin terbabit akan menjadikannya pilihan utama bagi pasaran halal dan industri pelancongan haji, bukan hanya di Malaysia dan Asia Barat, tetapi juga seluruh dunia,” katanya.

Tambahnya, ketika ini tiada vaksin tunggal yang menawarkan perlindungan terhadap semua bakteria serotip yang menjadi punca kepada penyakit meningokokal.

Vaksin yang ada di pasaran ketika ini hanya menangani maksimum empat serogroup; A, C, W dan Y atau serogroup B tunggal. Vaksin baru ini dijangka menawarkan perlindungan lebih intensif terhadap serogroup A, C, W, Y dan X, sekali gus meningkatkan pertahanan untuk pelancong di seluruh dunia.

Perkongsian itu ditandatangani di Copenhagen, Denmark membabitkan Cabannes, Ketua Pegawai Eksekutif AJ Vaccines, Klaus Hermansen dan Ketua Pegawai Eksekutif Hilleman Laboratories, Dr Davinder Gill di hadapan Pengerusi Kumpulan AJ Vaccines, Dr Tabassum Khan.

Kerjasama itu meliputi pembangunan vaksin di Malaysia dan tapak utama lain. Ia juga memerlukan persediaan pembuatan dan pelan pembangunan klinikal untuk pengeluaran yang lebih luas. Ini adalah sebahagian daripada komitmen AJ Biologics Malaysia memperkuatkan landskap vaksin tempatan menerusi inovasi dan peningkatan berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 12:00 AM