Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Bagi individu sihat yang mengalami kemalangan seperti hirisan pisau atau terjatuh sehingga menyebabkan pendarahan, platelet akan mula bertindak balas dan berkumpul di tempat luka.

Ia akan bergumpal bersama dan membentuk satu jaringan fibrin (protein pembeku darah) yang kuat dan ‘menampal’ kawasan luka sehingga akhirnya menghentikan pendarahan. Proses pembekuan darah yang berlaku secara semula jadi ini sangat penting sebagai perlindungan kepada tubuh.

Ada juga senario pembekuan darah tidak normal, merujuk kepada insiden tampalan kecil yang bergumpal bersama sehingga menyebabkan saluran tersumbat di tempat yang tidak sepatutnya.

Menurut Pakar Perubatan di Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Dr Shamsinar Samsuddin, kehadiran gumpalan darah beku ini sangat berbahaya kerana ia juga boleh berlaku di bahagian lain tubuh dan menjadi punca kepada penyakit lebih serius seperti serangan jantung, strok dan trombosis vena.


DR Shamsinar

“Bagi kes penyakit kronik seperti serangan jantung, strok dan trombosis vena, mekanisme terjadinya darah beku adalah berbeza. Sebagai analogi, apabila ada kecederaan pada salur darah paru-paru, secara semula jadi tubuh akan mengaktifkan platelet untuk memperbaiki kecederaan berkenaan.

“Akan tetapi, jika serpihan daripada tampalan ini terlepas dan pergi ke salur darah otak dan menyebabkan salur darah berkenaan tersumbat, dikhuatiri ia boleh menimbulkan risiko strok yang ditandai dengan kelumpuhan anggota badan.

“Kesimpulannya darah beku yang terjadi secara tidak normal ini akan menyumbatkan salur darah sehingga mengganggu aliran darah yang berfungsi mengangkut oksigen ke seluruh tubuh terutama ke organ utama seperti otak, jantung, paru-paru, hati dan ginjal. Gejala untuk setiap masalah darah beku berlaku pada saluran darah di bahagian organ tertentu berlainan mengikut bahagian terjejas,” katanya.


DARAH BEKU.

Penyumbatan pada salur darah di jantung (Antara gejala):

• Sakit pada dada yang dirasakan seperti menekan atau rasa ketat yang mungkin merebak ke leher, rahang atau belakang badan.

• Rasa mual, pedih ulu hati atau rasa tidak nyaman pada perut.

• Kesukaran bernafas (tanda lebih serius)

• Anggota tangan dan kaki mungkin kebiruan dan disertai rasa sejuk.

Penyumbatan salur darah di otak (Antara gejala):

• Kebas atau lemah secara tiba-tiba pada bahagian muka.

• Kebas tangan atau kaki, dan ini berlaku pada separuh bahagian tubuh.

• Tiba-tiba mengalami kesulitan bertutur seperti biasa, tidak mampu untuk memahami percakapan orang lain dan tampak keliru.

• Tidak mampu melihat dengan jelas, berjalan atau mengimbangi pergerakan akibat hilangnya daya koordinasi tubuh

Penyumbatan pada salur darah vena terutama di kaki (sering dikait dengan penyakit trombosis vena dalam, DVT)

• Boleh terjadi kepada pesakit yang mempunyai masalah pergerakan, terutama pesakit strok, pesakit yang baru menjalani pembedahan besar atau mempunyai daya imun rendah seperti pesakit kanser.

• Antara tanda DVT ialah rasa sakit dan bengkak pada kaki, kulit menjadi kemerahan dan betis terasa panas.

Ujian pengesanan

Ada beberapa siri ujian darah atau pengimejan memastikan gejala di atas disebabkan kehadiran darah beku.

Antara prosedur sering dijalankan ialah ujian kiraan sel darah, selain ujian tambahan seperti D-Dimer. Ujian lain dijalankan mengikut keperluan.

Proses pengimejan seperti imbasan CT dan imbasan bunyi adalah ujian rutin untuk mengesan masalah ini. Imbasan CT menunjukkan secara langsung kawasan tubuh yang mengalami penyumbatan, manakala imbasan bunyi pula mengesan kawasan dan aliran darah yang tersumbat.

Rawatan

Ubat-ubatan yang biasa digunakan disebut sebagai antipembekuan atau ubat pencair darah. Ia bukan berfungsi mencairkan darah tetapi mengekalkan darah tetap dalam bentuk bendalir dan tidak mudah menggumpal atau membeku secara tidak normal.

Ia mencegah gumpalan yang sedia ada daripada membesar atau terpecah daripada gumpalan asal dan mengelak terbentuknya gumpalan darah beku yang baru.

Ubat-ubatan yang mudah didapati di hospital termasuk dabigatran, rivaroxaban, heparin, fondaparinux dan warfarin. Ketika pengambilan warfarin, anda perlu membuat pemeriksaan darah secara berkala untuk memastikan jumlah dos yang tepat di dalam sistem darah anda, kerana jika terlalu banyak ia boleh menyebabkan perdarahan dan jika terlalu sedikit pula tidak akan memberikan kesan kepada pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 12:01 AM