XANTHELASMA adalah pembentukan plak pengumpulan deposit lipid kekuningan yang kerap berlaku di bahagian kelopak mata.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


EMPAT daripada lima individu yang mengalami masalah kolesterol tinggi tidak menyedari status kesihatan masing-masing kerana ketiadaan gejala tertentu.

Kolesterol tinggi atau hiperkolesterolemia dikategorikan faktor risiko utama kepada masalah kardiovaskular hingga mengakibatkan kematian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pakar Perunding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr Rafidah Abu Bakar mendedahkan seramai 38,000 pesakit jantung baru didiagnosis setiap tahun manakala jumlah kematian direkodkan pada 2013 mencecah 7,597 kes akibat epidemik berkenaan.

“Penghasilan kolesterol secara perlahan-lahan akan menyebabkan berlakunya pemendapan lipid pada arteri, seterusnya mengakibatkan aterosklerosis.

“Arterosklerosis adalah satu keadaan saluran arteri (salur darah) menjadi mengecil dan tersumbat dengan pengumpulan plak kolesterol.

“Sekiranya pembentukan arterosklerosis ini bertambah, ia akan menyekat aliran darah dan oksigen yang seharusnya dibekalkan kepada jantung.

“Jika keadaan ini berterusan, ia boleh menyebabkan individu mengalami kesakitan di bahagian dada, serangan jantung mahupun angin ahmar (strok).

“Penyakit arteri koronari (CAD) ini turut mengakibatkan kerosakan jantung secara kekal. CAD juga bertindak melemahkan otot jantung dan menyumbang kepada kegagalan jantung apabila jantung tidak dapat mengepam darah secara normal ke seluruh tubuh.

“Menyentuh soal penyakit jantung berpunca daripada paras kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) yang tinggi, ramai menyangka ia hanya berlaku dalam kalangan lelaki, warga emas ataupun mereka yang mengalami obesiti.


ARTERIOSKLEROSIS adalah keadaan arteri mengecil dan tersumbat dengan plak kolesterol yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung.

“Namun tanggapan ini meleset kerana hiperkolesterolemia tidak mengenal umur, jantina, saiz badan mahupun tahap kecergasan.

“Selain itu juga, masalah kolesterol tinggi tidak mempunyai apa-apa simptom, biasanya ia dapat dikenal pasti selepas berlakunya kes kecemasan,” katanya dalam perbincangan meja bulat kesihatan jantung anjuran Nestle Omega Plus dan Yayasan IJN.

Sementara itu, Pakar Dietatik Kanan IJN Foong Hui Hing mengakui kolesterol memainkan peranan penting dalam tubuh termasuk penghasilan hormon dan vitamin D serta pembentukan membran sel.

Jelasnya, kolesterol daripada sumber produk haiwan mempunyai kesan kecil terhadap LDL dalam darah, sebaliknya lemak tepu dan trans dalam makanan boleh menyebabkan peningkatan LDL yang lebih tinggi.

Pengambilan lemak sihat seperti lemak poli tak tepu dan mono tak tepu dalam diet boleh merendahkan kolesterol ‘jahat’ itu.

Justeru, beliau menyarankan pengambilan serat sebanyak 20 hingga 30 gram setiap hari berasaskan sumber buahan, sayuran dan bijirin tulen dapat membantu mengurangkan kolesterol LDL.

Pakar Nutrisi Nestle Nurul Iliani Ahmad turut mencadangkan kaedah menghalang penyerapan kolesterol tidak baik ke dalam sistem tubuh menerusi pengambilan sterol tumbuhan, sejenis bahan semula jadi dihasilkan oleh tumbuhan.

“Sterol tumbuhan mempunyai komposisi molekul serupa dengan kolesterol. Jadi ia akan berfungsi dengan meniru kolesterol dan bersaing bersama-sama untuk diserapkan ke dalam badan.

“Ini bererti sterol akan menghalang kolesterol daripada diserap, manakala kolesterol berlebihan disingkirkan daripada badan kita sebagai bahan buangan.

“Bagi memastikan keberkesanan sterol tumbuhan dalam mengurangkan kolesterol, kita memerlukan sebanyak 1.2 gram sterol tumbuhan bersamaan dengan 255 biji tomato atau 126 batang lobak merah setiap hari.

“Satu cara yang lebih mudah adalah dengan pengambilan produk formula yang mengandungi kuantiti sterol tumbuhan tambahan yang mencukupi seperti Nestle Omega Plus,” jelasnya.

Pemeriksaan kolesterol secara rutin adalah langkah paling utama dalam pencegahan kolesterol tinggi dan pengurusan kesihatan secara holistik harus diambil kira daripada aspek gaya hidup dan amalan diet seimbang untuk jantung.

Tanda fizikal berkaitan hiperkolesterolemia:

1. Xanthelasma

- Plak pengumpulan deposit lipid kekuningan yang kerap berlaku di bahagian kelopak mata

- Lebih kerap timbul pada bahagian atas kelopak mata

2. Arkus kornea

- Juga dikenali dengan senilis arkus

- Adalah sindrom usia tua di mana terdapat gegelung berwarna putih, kelabu atau biru di margin kornea atau cincin putih di tepi iris mata. Ia juga boleh berlaku ketika kelahiran namun agak normal pada warga tua.

3. Tendon Xanthomata

- Nodul yang terdapat di tendon tangan, kaki dan tumit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 3:50 AM