Isa ketika sidang media berhubung isu FGV 2017 pada 8 Jun lalu. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


BEKAS Pengerusi Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) Tan Sri Isa Samad dilantik sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sudah bertemu dengan Isa dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pagi tadi bagi membincangkan masa depan FGV dan peranan Isa dalam syarikat itu.

“Beliau (Isa) rela hati untuk lepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV dan tempatnya pula digantikan Sulaiman.

“Bagi menghargai Isa, saya setuju melantiknya sebagai pemangku Pengerusi SPAD," katanya.

Menurutnya, tindakan dalaman juga akan diambil untuk menentukan proses keadilan terhadap apa yang berlaku kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad dan tiga yang lain sebelum ini.

Najib berkata, Lembaga Pengarah FGV akan membuat keputusan yang mencerminkan hasrat kerajaan untuk meletakkan FGV lebih kukuh pada masa depan.

Najib sebelum itu mengesahkan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dilantik sebagai pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta merta.

Sulaiman sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV dan Pengerusi Telekom Malaysia (TM) selain Pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.

Beliau juga adalah Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tun Abdul Razak dengan mengajar bidang Ekonomi dan Dasar Awam.

Sulaiman berkelulusan Ekonomi dari UM menyambung pengajian di University of London.

Beliau menyempurnakan pengajian doktor falsafah (PhD) di Maxwell School of Citizenship dan Public Affairs di Syracuse University, Amerika Syarikat pada awal 1986.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 2:45 PM