Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my

“BUKAN saja-saja nak mengajuk loghat Thailand, saya memang ada darah keturunan Siam," kata Nurhayati Tahir, 26, yang popular di media sosial menerusi videonya yang bercakap menggunakan loghat Thai.

Nurhayati berkata, lenggok dan cara bercakap loghat Thailand dalam videonya itu adalah sama seperti percakapan harian ibunya menyebabkan dia terikut-ikut.

"Sejak sekolah sudah menjadi tabiat saya mengajuk loghat Thailand dan ramai kawan suka melihat telatah saya bercakap seperti itu lalu timbul keinginan mahu berkongsi di Facebook. 

"Saya tak sangka video pertama dimuat naik sehari sebelum puasa (26 Mei) menjadi tular sehingga 1 juta tontonan dalam sehari," katanya yang berasal dan tinggal di Besut, Terengganu.

Menurutnya, video pertama bertajuk 'Berhutang Tak Reti Bayar' itu menerima reaksi positif netizen kerana memberi mesej yang tersendiri dalam cara penyampaian humor dan bersahaja.

Nurhayati berkata, sejak video itu tular, ramai menghubunginya meminta untuk memuat naik video seterusnya.

“Tidak kurang juga yang kecam tetapi saya ambil positif kerana ada komen memberi nasihat yang tidak menjatuhkan saya. Kecaman tidak akan menghalang saya untuk terus berkongsi.

“Video saya ada mesej dan mengikut situasi serta isu semasa sebagai teguran kepada diri sendiri dan masyarakat," katanya yang sudah berkahwin Januari lalu.

Video yang disunting sendiri itu kini menghasilkan pendapatan tambahan apabila ada pihak membayar untuk disiarkan di blog mereka.

Menurut Nurhayati, dia turut menerima tawaran lakonan dan masih mempertimbangkan tawaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 6:11 PM