“BELIAU sentiasa memberi sokongan dan memahami saya dengan baik," kata Tunku Tun Aminah. IHSAN Pusat Media Diraja Johor.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


TUNKU Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim tertarik dengan kebaikan dan sifat lemah lembut bakal suaminya, Dennis Muhammad Abdullah.

Anakanda kedua Sultan Ibrahim Iskandar itu berkata, Dennis Muhammad juga seorang yang sentiasa memberi sokongan dan memahaminya dengan baik.

“Beliau sentiasa memberi sokongan dan memahami saya dengan baik," katanya kepada Pusat Media Diraja (RPO) Johor.


“BELIAU seorang yang menarik namun dalam masa samaseorang yang tegas dan mempunyai nilai kekeluargaan yang kukuh,” kata Dennis Muhammad. IHSAN Pusat Media Diraja Johor.

Dalam satu kenyataan media RPO Johor, Tunku Tun Aminah, berkata beliau sedang menyiapkan mahligai barunya itu sebagai persediaan mengharungi kehidupan selepas mendirikan rumah tangga.

Ia akan menjadi satu pengalaman baru buat puteri itu dalam mengharungi kehidupan bersama warga Belanda itu yang bakal dibina Isnin ini.

“Kami akan berpindah ke rumah sendiri dan memulakan kehidupan sebagai suami isteri.

“Ini adalah pertama kali saya akan tinggal sendiri dan jauh dari ayahanda, bonda serta ahli keluarga yang lain,” katanya.

Sementara itu, Dennis Muhammad yang memeluk Islam sebelum mengenali Tunku Tun Aminah berkata, beliau rasa amat terharu apabila diterima menjadi sebahagian daripada keluarga diraja Johor.

“Tunku Tun Aminah seorang insan yang amat istimewa buat saya. Beliau seorang yang menarik namun dalam masa sama, seorang yang tegas dan mempunyai nilai kekeluargaan yang kukuh.

"Beliau juga amat rapat dengan keluarganya, seperti saya dengan keluarga di Belanda,” katanya.

Dennis Muhammad berkata, walaupun mengahwini seorang anak raja, beliau tetap akan bekerja kerana ayahnya pernah menegaskan betapa pentingnya untuk bekerja bagi menampung kehidupan keluarga.

Beliau kini memegang jawatan kanan dalam sebuah syarikat pembangunan hartanah utama di Johor Bahru.

Istiadat pertunangan pasangan sama padan itu akan berlangsung di Istana Bukit Serene, diikuti dengan Istiadat Akad Nikah.

pengantin diraja bakal diraikan dalam Istiadat Persandingan di Bilik Singgahsana, Istana Besar, pada sebelah malamnya.

Kira-kira 1,200 tetamu akan menghadiri majlis ringkas namun penuh bermakna itu yang turut dipancarkan secara langsung kepada orang ramai menerusi skrin digital gergasi di Dataran Bandaraya dan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Semua istiadat perkahwinan itu akan dijalankan dengan penuh adat istiadat dan budaya Diraja Johor yang mana Tunku Tun Aminah akan mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga manakala pengantin lelakinya mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga.

Baju Kurung Teluk Belanga diperkenalkan pada lewat kurun ke-19 ketika pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar yang mana ia tidak mempunyai kolar dan bahagian leher dijahit menggunakan jahitan yang dikenali sebagai tulang belut.

Baju rasmi Johor ini, seperti namanya, berasal dari sebuah pulau di Singapura yang dahulunya pernah menjadi ibu negeri Johor.

Berita berkaitan

Tunku Tun Aminah nikah 14 Ogos ini

Bagai pinang dibelah dua

Sultan Johor puas hati

Apabila dah dekat di hati Tunku Tun Aminah

Istiadat perkahwinan penuh tradisi dan warisan Johor

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 12:02 AM