Yussi Riyanawati (dua dari kanan) bersama keluarganya yang menetap hampir enam tahun di Taupo.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Taupo, New Zealand: “Saya tidak sarankan membeli roti ini, ia tidak halal,” kata jurujual wanita ketika penulis berhenti untuk membeli kopi di Palmerston, New Zealand.

Penulis agak terkejut dengan pengetahuan masyarakat New Zealand mengenai Islam dan makanan halal yang menjadi nadi utama untuk orang Muslim.

Penulis bersama tiga orang ‘kuat’ Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) dalam rangka lawatan lima hari ke Taupo untuk melakukan lawatan tapak bagi pembinaan Kompleks Masjid Al-Quddus.

Bagaimanapun, impian itu hanya dapat direalisasikan sekiranya orang ramai menyalurkan sumbangan menerusi akaun Muslim Care iaitu Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 dan Bank Muamalat 14010007654717.

Perjalanan yang jauh antara Taupo ke Auckland dan Wellington lebih 300 kilometer membuatkan kami mengantuk dan banyak singgah di kafe untuk mendapatkan secawan kopi.

Penulis tertarik dengan roti dan beberapa pastri dipamerkan di setiap kafe, bagaimanapun jurujual yang kebanyakan rakyat tempatan dengan jujur memberitahu terdapat kandungan yang diragui untuk Muslim makan.

Pada mulanya kami agak terkejut dengan kejujuran wanita itu sebelum mengucapkan terima kasih dan gembira kerana memahami betapa penting makanan halal untuk kami tanpa memikirkan sebarang keuntungan untuk perniagaan mereka.

Mungkin sudah tiba masanya, peniaga makanan di Malaysia bersikap jujur apabila membabitkan makanan halal lebih-lebih lagi negara kita yang majoritinya beragama Islam.

Difahamkan, penduduk di New Zealand dianggarkan berjumlah hampir lima juta dengan komuniti Islam 55,000 orang.

Penulis kemudian berjumpa dengan satu keluarga Islam yang berasal dari Indonesia dan menetap hampir enam tahun di Taupo.

Yussi Riyanawati Jpatmadisastra, 44, berkata, walaupun bertudung dia tidak pernah berasa terpinggir hidup di negara orang berikutan masyarakat tempatan sangat ramah dan tidak meminggirkan mereka.

“Kami bebas mengamalkan agama Islam tanpa pandangan prejudis walaupun golongan minoriti di sini.

“Mereka tidak pernah mempersoalkan kenapa saya memakai tudung dan perlu solat lima waktu sehari kerana masing-masing mempunyai pendirian teguh kepada agama mereka,” kata ibu tiga anak itu.

Dia yang bekerja di sebuah restoran Jepun di Taupo berkata, masyarakat Islam di Taupo sangat rapat antara satu sama lain dan kerap melakukan keraian di Pusat Islam di sini.

“Walaupun berada di negara orang, tetapi saya berasakan seperti berada di negara sendiri terutama ketika perayaan dan kematian,” katanya.

Bagi Diki Hendrawan, 48, turut mengakui komuniti Islam di negara ini tidak mengalami sebarang masalah untuk mengamalkan cara hidup Islam.

“Kami boleh bertudung, solat dan berpuasa tanpa sebarang masalah kerana penduduk tempatan di sini sudah didedahkan dengan Islam lebih awal.

“Tiada istilah Islamophobia di negara ini, mereka cukup memahami dan tidak mengasingkan komuniti Islam di sini,” katanya yang bekerja sebagai cef di hotel terkemuka di Taupo.

Katanya, dasar pemerintah di negara ini yang tidak meminggirkan komuniti Islam wajar dicontohi negara barat lain.

“Saya bekerja sebagai cef di sebuah hotel terkemuka di Taupo tidak pernah berasa terpinggir dan di layan rakan sekerja seperti ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, perlunya sebuah masjid besar untuk kegunaan kami dan pelancong Islam lain berikutan rumah ini sudah tidak dapat menampung jumlah yang ramai satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:06 AM