ATM yang cuba diletupkan suspek dengan bom buatan sendiri di RTC Napoh. FOTO ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


SEBUAH mesin juruwang automatik (ATM) di bangunan RTC Napoh, Jitra gagal dipecahkan walaupun diletupkan dengan bom buatan sendiri, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan 2.40 pagi oleh orang awam yang ternampak kepulan asap kecil di bangunan itu sebelum menghubungi pasukan bomba dan polis untuk memaklumkan kejadian itu.

Katanya, anggota forensik yang tiba di lokasi mendapati terdapat kesan letupan dan hangus pada bahagian kiri mesin ATM itu.

"Hasil siasatan mendapati suspek disyaki menggunakan bom buatan sendiri yang diselitkan di pintu mesin ATM untuk meletupkannya.

"Bom yang digunakan gagal meletupkan mesin ATM berkenaan menyebabkan suspek melarikan diri dan pihak forensik sudah mengambil sampel belerang yang ditemui di kedua-dua tempat untuk membantu siasatan," katanya.

Mohd Ismail berkata, rakaman pada kamera litar tertutup (CCTV) juga akan dianalisis kerana berlaku kerosakan pada kotak CCTV yang berada di atas mesin ATM berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457/436 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 11:22 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »