HALIMAH menunjukkan serbuk kopi kampung yang siap diproses. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my

Baling: Biarpun penghasilan kopi kini dilakukan secara moden, namun bagi seorang warga emas, Halimah Din, 85, dia masih kekal menghasilkan kopi secara tradisional dan menjadi punca pendapatannya sejak 30 tahun lalu.

Walaupun bungkusannya tidak secantik kopi moden, namun ia tetap menjadi pilihan penduduk di sekitar daerah ini yang setia membeli kopi dihasilkan Halimah dari Kampung Charok Sikin, di sini.

Malah, kopi dihasilkan Halimah turut dipasarkan di Alor Setar, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.


HALIMAH menggoreng biji kopi kampung secara tradisional. FOTO Safuri Kamarudin

Halimah berkata, dia mengusahakan kopi kampung sejak 30 tahun lalu yang diwarisi daripada arwah nenek moyangnya.

Menurutnya, kopi kampung yang diproses secara tradisional itu masih diterima masyarakat setempat walaupun pelbagai kopi jenama moden dihasilkan.

“Kopi kampung saya masih mendapat permintaan penduduk terutama di kedai runcit sekitar sini, malah penduduk kampung sanggup datang ke rumah apabila mereka kehabisan bekalan,” katanya.

Nenek kepada 19 cucu dan tiga anak itu menggunakan kaedah tradisional untuk memproses kopi kampung dengan bahan asli daripada bijiran.


PROSES pembuatan kopi secara tradisional yang diusahakan Halimah jadi pilihan penduduk. FOTO Safuri Kamarudin

“Itulah kerja dilakukan saya dari usia muda hingga hari ini kerana pembuatan kopi kampung ini warisan keluarga.

“Saya mengambil alih kerja membuat kopi daripada keluarga sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun tempoh untuk menyediakan kopi agak lama, tetapi berbaloi dengan aroma dan rasa kopi dihasilkan.

“Biar memakan masa lama, tetapi tetap berkualiti dan tahan lama kerana ia pekat dan berbeza dengan kopi dari kilang.

“Rasa kopi kampung lain kerana biji kopi digoreng menggunakan dapur kayu, malah biji kopi dibasuh hingga bersih,” katanya.


HALIMAH (kanan) menjamu kopi kampung kepada tetamu di rumahnya di Kampung Charok Sikin. FOTO Safuri Kamarudin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 7:26 AM