Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bagi mengelak daripada ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia, lebih lima pekerja warga asing sanggup menggadai nyawa dengan berdiri di celah cerucuk di tingkat 18 sebuah bangunan dalam pembinaan di Bandar Sri Manjalara di sini, semalam.

Bagaimanapun, cubaan mereka gagal apabila ditahan dalam Operasi Tapak (Ops Tapak) selama dua jam bermula jam 10 pagi.

Dalam serbuan itu, 65 warga asing termasuk dua wanita ditahan kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.

Operasi membabitkan 170 anggota dan pegawai termasuk daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Penolong Pesuruhjaya Kanan Jabatan Penguatkuasaan DBKL Osman Ismail berkata, pihaknya memeriksa seramai 82 warga asing dan mereka yang ditahan didapati menyalahgunakan permit, tinggal lebih masa dan tiada permit pekerjaan.


PEKERJA warga asing menggadai nyawa dengan berdiri di cerucuk ketika Ops Tapak di Bandar Sri Manjalara, semalam. FOTO NSTP

Katanya, semua pekerja warga asing terdiri daripada 24 warga Indonesia, Myanmar (2) dan Bangladesh (11) yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 159/1963.

“Hasil pemeriksaan DBKL terhadap tapak pembinaan itu mendapati pemaju membina premis pejabat tanpa kebenaran, selain tidak menjaga kebersihan kawasan pembinaan selain meletakkan tong buangan besar di atas jalan.

“Manakala pemeriksaan dilakukan pihak CIDB mendapati 15 pekerja warga asing di tapak pembinaan itu tiada kad CIDB,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Penguatkuasaan Keselamatan Bangunan, Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Kuala Lumpur Jelani Ahad berkata, syarikat pemaju gagal menyediakan paip sesalur naik dan tangki simpanan air walaupun mencapai tahap ketinggian ditetapkan pihaknya untuk pemasangan paip berkenaan.

“Syarikat pemaju diberi notis mengikut Seksyen 2(c) Tafsiran Bahaya Kebakaran, dan jika gagal berbuat demikian dalam tempoh 120 hari maka dakwaan dibuat mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 yang memperuntukkan denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Op Tapak ini diadakan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan tapak pembinaan mengikut prosedur yang ditetapkan, memastikan projek pembinaan mematuhi pelan kelulusan, manakala pekerja-pekerja binaan warga asing mempunyai permit yang sah.


ANGGOTA imigresen memeriksa warga asing yang ditahan ketika Ops Tapak di Bandar Sri Manjalara, semalam. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 6:14 AM