Kuala Lumpur: Menyediakan khidmat ‘pemandu peribadi’ untuk mengambil dan menghantar pelanggan berjudi dalam talian di kondominium mewah sekitar ibu kota.

Itu modus operandi baru digunakan sindiket perjudian yang sanggup menyediakan kereta mewah bagi menarik perhatian kaki judi.

Apa yang diperlukan hanyalah menghantar pesanan WhatsApp kepada dalang sindiket sebelum kenderaan dihantar ke alamat kediaman pelanggan.

Taktik itu dibongkar wartawan Harian Metro dengan kerjasama Pasukan Taktikal Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman yang membongkar trend terbaru di sebuah kondominium di Setia Alam, malam kelmarin.

Wartawan yang menyamar menjadi pelanggan pada mulanya tidak dibenarkan masuk dengan alasan bukan pelanggan tetap.


KONDOMINIUM mewah dijadikan markas terbaru sindiket perjudian. FOTO NSTP

Namun dengan bantuan sumber dalaman, wartawan akhirnya dibenarkan bermain judi di sebuah kondominium mewah milik sindiket.

Wartawan diminta menunggu di pusat snuker terlebih dahulu sebelum dijemput seorang lelaki berusia 30-an menggunakan kenderaan miliknya.

Kira-kira lima minit kemudian, wartawan tiba di kondominium yang mempunyai kad akses sebelum dibenarkan masuk.

Pemerhatian wartawan mendapati beberapa pelanggan sedang leka berjudi menggunakan set komputer yang dipasang di dalam rumah berkenaan.

Terdapat dua penjaga warga Indonesia bertindak sebagai penjaga premis judi berkenaan.

Namun lelaki yang menjadi runner terbabit didapati keluar dari kediaman itu dipercayai mahu mengambil penumpang lain.

Bagaimanapun, kegiatan mereka tidak bertahan lama apabila sepasukan anggota dan pegawai STAGG menyerbu kediaman berkenaan sebelum menahan tujuh individu termasuk empat kaki judi.


ANGGOTA dan pegawai polis memeriksa komputer untuk perjudian dalam talian. FOTO NSTP

Sumber STAGG berkata, serbuan turut merampas wang tunai RM450, 14 set komputer dan tiga telefon pintar.

“Premis berkenaan terletak di kawasan pangsapuri yang mempunyai kawalan keselamatan 24 jam.

“Pintu masuk ke premis itu mempunyai pagar besi dan berkunci,” katanya.

Menurutnya, semua individu yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 6:43 AM