SYAZWAN (kiri) akui benteng pertahanan perlu bekerja lebih keras. FOTO Facebook Football Association of Malaysia (Official)
Daripada Aziman Rosdi di Changshu
aziman@nstp.com.my

Changshu, China: Pemain pertahanan skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Syazwan Andik mengakui benteng pertahanan perlu bekerja lebih keras andai mahu kekecewaan menentang Iraq tidak berulang apabila mereka berdepan Jordan, hari ini.

Selain kesilapan individu yang dilakukan pemain, anak buah Datuk Ong Kim Swee juga jelas sukar untuk menyekat serangan pantas Iraq sehingga menyaksikan mereka tewas 1-4.

Bagi Syazwan, pemain pertahanan kiri yang turut melakukan kesilapan sehingga membolehkan pasukan lawan menyumbat gol kedua mengharapkan prestasi lebih baik apabila membuat perhitungan dengan Jordan.

“Saya kecewa dengan persembahan sendiri sebab bagi bolos banyak gol. Pada awal permainan kami agak gugup tapi pada masa kedua sudah dapat rentak dan mendapat keyakinan.

“Kami akan cuba perbaiki kesilapan dan beri aksi lebih baik untuk menang ke atas Jordan,” katanya.

Tambah mengecewakan pemain Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) itu apabila dia gagal menebus kesilapan selepas jaringannya tidak dikira oleh pengadil walaupun kelihatan bola sudah melepasi garisan gol Iraq.

“Sudah tengok (tayangan video gol), nampak macam gol. Saya cuba nak balas semula kesilapan bolos gol kedua, tapi tak ada rezeki,” katanya.

Ketika ditanya mengenai ancaman penyerang Jordan Baha’ Faisal Mohamad yang menyumbat dua gol ketika seri 2-2 dengan Arab Saudi, Syazwan berkata: “Kami sedar dia pemain yang bagus, kami kena lebih berwaspada, bukan hanya dia, tapi semua pemain Jordan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:03 AM