KEUTAMAAN Saharul cari nafkah, mahu keluarga terus diberkati.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Tiada kata dapat dilafazkan melainkan syukur kerana dikurniakan pengakhiran yang baik pada 2017 lalu dan permulaan yang positif sebaik melangkah ke 2018.

Apatah lagi sejak bergelar suami kepada Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir pada 2016, Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 28, atau mesra disapa Saharul Ridzwan dikurniakan pula anak lelaki, Muhamad Luth Ali pada Jun 2017.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Permulaan yang lebih baik dari awal 2017 sebagai seorang anak, suami dan kini bapa.

“Ia mencakupi sisi peribadi dan kerjaya, sekali gus perjalanan hidup saya lebih diberkati,” katanya.

Tidak pernah lekang bercakap mengenai anak, pelakon dikenali melalui drama Hati Perempuan tiga tahun lalu itu lebih memahami kehendak dan keperluan sebagai bapa.

Sama seperti ibu bapa lain, dia akui sering bertanya kepada ibu bapa dan mentuanya, mencari cara mendekatkan anaknya dengan Islam.

Katanya, paling penting kena sentiasa banyak berdoa kerana percaya doa ibu bapa buat seorang anak itu sangat makbul.

Mungkin kerana mengikut nasihat mereka, tidak hairanlah Ali, panggilan manja buat si anak, menjadikan nama Allah sebagai perkataan pertama yang terpacul di mulutnya pada usia baru mencecah enam bulan.

Katanya, Ali menyebut perkataan Allah beberapa kali selepas mendengar laungan azan. Suatu impian yang pernah didoa Saharul ketika isterinya hamil.

“Dulu, selalu tengok meja makan yang ada bayi bising dengan tangisan, ketawa, pinggan mangkuk jatuh, air tumpah dan sebagainya.

“Sejak bergelar bapa, baru saya tahu kenapa dan perasaan ketika itu,” katanya ketawa mengimbau memori lalu.

Meskipun masih menjalankan rutin kerjaya utama sebagai pelakon, dia sentiasa mengingatkan diri sudah mempunyai keluarga.

Apatah lagi ketika bekerja di luar kawasan, dia pernah terlepas detik indah saat Ali baru belajar meniarap. Disebabkan itu, dia enggan terlepas lagi detik lain selama Ali sedang membesar.

“Keutamaan saya terhadap isteri dan anak tapi sebagai suami dan bapa, saya perlu cari nafkah untuk kelangsungan hidup kami.

“Bagi saya, segalanya perlu seimbang dan diatur dengan baik, sama ada kerjaya atau peribadi. Jika pengurusan itu sempurna, segala urusan pasti berjalan lancar,” katanya.

Bercakap mengenai kerjaya, pelakon kelahiran Kuantan, Pahang itu pernah mendedahkan sedang merangka kerjaya baru dengan percubaan untuk bergelar penyanyi dan penulis.

Katanya, lagu Buku Putih kerjasama dengan komposer dan penyanyi, Ajai, sudah siap sepenuhnya serta menanti masa untuk dilancarkan.

Malah, video klip juga dalam proses pembikinan dan akan dilancarkan serentak sebaik saja segala urusan berkaitan selesai.

Penghalangnya kini adalah jadual lakonan Saharul yang agak padat. Tambahan pula dia baru saja pulang dari Jepun untuk bekerja sambil bercuti bersama keluarga pada Jumaat lalu.

Dia ke sana atas jemputan negara itu selama seminggu bersama beberapa organisasi bukan kerajaan, wakil kerajaan Malaysia dan Indonesia dalam usaha mengetengahkan perihal pelancongan Muslim di Shoryudo, Jepun.

Dia yang bakal muncul dengan drama slot Zehra berjudul Zahir Tak Terucap berharap tahun ini dapat diisi dengan ‘jiwa’, bukan sekadar lakonan semata-mata.

“Tahun ini saya mahu mencari kepuasan dalam lakonan. Saya pernah berkata tahap lakonan saya baru di tahap tiga. Harap tahun ini dapat dimantapkan lagi agar tidak terus selesa pada tahap sama.

“Begitu juga bidang penulisan. Lirik Buku Putih hasil nukilan sendiri pada dua tahun lalu dan diharap ia permulaan yang baik untuk terus berkarya,” katanya lagi.

Saharul berharap 2018 menjadikan dia seorang individu yang lebih matang dalam melakukan apa saja kerjaya.

Dia juga berjanji akan lebih berdedikasi dan mengelak daripada melakukan kesalahan serta menambah baik kekurangan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 5:41 AM