INSOMNIACKS dianggotai (dari kiri) Ahmad Danial, Syed Miq Iqbal, Wan Arif Iskandar dan Gavin Wong.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Menggelar diri mereka sebagai Insomniacks, kumpulan ini dianggotai Syed Mir Iqbal selaku vokalis dan gitaris utama, Wan Arif Iskandar (bass), Gavin Wong (dram) dan Ahmad Danial (gitar ritma).

Walaupun baru berusia 20 tahun, semangat untuk mewarnai dunia seni dengan lagu mereka cukup besar. Bercadang untuk muncul dengan karya kedua, Insomniacks bagaimanapun terlebih dulu ingin memberikan laluan kepada lagu pertama mereka iaitu Selalu.

Kata Iskandar, mereka masih mempromosikan Selalu, tambahan pula ia menjadi lagu yang menghiasi drama bersiri adaptasi naskhah Korea berjudul Coffee Prince.

Sudah menghasilkan beberapa buah lagu, mereka bagaimanapun perlu bersama syarikat rakaman meneliti kesesuaian single kedua yang mungkin dilancarkan selepas Aidilfitri.

“Buat masa ini kami masih lagi mempromosikan lagu Selalu. Insya-Allah, single kedua mungkin dilancarkan selepas Aidilfitri.

“Kalau ikutkan hati, kami ingin lagu baru keluar pada Mac atau April tetapi semuanya bergantung pada syarikat rakaman. Mereka lebih tahu untuk uruskan perjalanan seni kami.

“Setakat ini, kami sudah ada beberapa lagu yang siap ditulis. Namun, kami dan syarikat rakaman masih meneliti lagu mana yang sesuai dijadikan single kedua,” katanya.

Sudah lama bersahabat, mereka tidak berhadapan masalah untuk menentukan hala tuju kumpulan Insomniacks. Ada kalanya perselisihan itu timbul, namun kasih sayang antara mereka melebihi segalanya.

Kata Gavin, mereka tidak ada perasaan takut andai suatu hari nanti berhadapan dengan perpecahan. Masing-masing percaya bahawa kumpulan yang dibina atas dasar persahabatan akan terus bertahan.

Jejaka itu juga berkata, paling penting adalah persefahaman dan kompromi dalam setiap keputusan. Tidak perlu merajuk terlalu lama atau memendam rasa. Anggota yang lain juga perlu bijak mengendalikan emosi satu sama lain.

“Masing-masing ada emosi tersendiri tetapi kami sudah lama bersahabat. Kami sudah saling kenal dan biasa dengan perangai. Kena ada kompromi dan ada kalanya perlu mengalah. Tidak perlu terlalu ego.

“Untuk mencapai keputusan dalam sesuatu perkara, memang kadang-kadang ada perselisihan faham. Tetapi, tidak perlu diperbesarkan dan dipanjangkan.

“Saya percaya, Insomniacks akan bertahan lama kerana ia dibina atas dasar persahabatan. Setiap kali ada rasa tidak puas hati, kami selesaikan dengan baik. Kami adalah kawan baik yang sudah seperti keluarga,” katanya.

Mendapat maklum balas positif, setakat ini Insomniacks masih belum berhadapan dengan kritikan mahupun kecaman daripada netizen. Begitupun, mereka percaya dapat berhadapan dengan dugaan itu dengan tenang.

Ingin berseronok dalam menghasilkan lagu, Insomniacks berharap selalu dapat membuka ruang untuk mereka terus berkarya dan diberikan peluang mewarnai industri seni muzik tanah air dengan lagu mereka.

Masih belajar di kolej swasta tempatan, mereka merangka kerjaya pada tahun ini untuk membuat kemunculan di setiap kampus seluruh Semenanjung bagi memperkenalkan kewujudan mereka dalam industri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 5:44 AM