Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


PEMANDU traktor mesin rumput yang dipercayai menyebabkan kematian pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, semalam, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Abd Razak berkata, siasatan awal terhadap lelaki berusia 26 tahun itu mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian Nur Afini Roslan selain dua cedera.

Bagaimanapun, katanya siasatan lanjut akan diteruskan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.

Menurutnya, polis akan bekerjasama dengan agensi yang berkepakaran berhubung isu itu termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Forensik bagi meneliti punca kejadian.

“siasatan meliputi pelbagai sudut termasuk melihat bagaimana bilah pisau mesin rumput daripada traktor berkenaan boleh patah.

“Selain itu, kita menyiasat bagaimana lantunan mata bilah berkenaan boleh sampai kepada mangsa yang berada pada jarak agak jauh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi semalam, mangsa bersama dua rakannya Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, menjalani latihan perbarisan sempena hari sukan sekolah yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Ketika mereka berada di padang sekolah, jentera berkenaan pada masa sama memotong rumput sebelum mata bilah terpelanting dan terkena mangsa.

Berikutan kejadian, Nur Afini maut di lokasi berikutan kepalanya terpotong dua manakala Abdullah cedera di telinga kanan dan Mohd Farhan Reza cedera di belakang kepala.

Difahamkan, hari sukan yang dijangka berlangsung hari ini dibatalkan, malah sekolah turut ditutup susulan kejadian itu.

Berita berkaitan

'Semangat atletnya akan diingati'

[UPDATE] 'Nur Afini, semoga rohmu damai di sana'

[UPDATE] Pemandu traktor mesin rumput ditahan

'Kakak kawan bermain, bergaduh saya'

Ada peraturan potong rumput sekolah

Ajal pelajar terkena bilah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 1:04 PM