ENJIN 471cc dua silinder selari yang berkuasa.
LAMPU belakang LED.
PERUMAH kunci penghidup utama.
PAPARAN meter digital.
GAYA sebuah jentera touring sejati.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Motosikal berkuasa tinggi jenama Honda memang tidak perlu dipertikaikan keupayaannya. Lihat sahaja model CBR yang digilai pencinta jentera dua roda.

Namun, kali ini penulis bukan menunggang uji model CBR tetapi ‘sport touring’ terbaru khusus bagi mereka yang mahu menjinakkan diri dalam dunia motosikal berkuasa tinggi.

Honda CB500X satu daripada dua model siri CB yang dilancarkan serentak bersama CBR500R dan CB500F.

Antara tiga beradik ini, CB500X bersifat touring apabila kedudukan pelana dan pemegang ditinggikan, sesuai dengan cirinya untuk perjalanan jarak jauh.

Bagaimanapun, penulis berkesempatan menunggang uji di sekitar ibu kota dengan kesesakan jalan raya menjadi cabaran utama.

Walaupun memiliki susuk tubuh agak sederhana, jentera ini mudah dikendalikan terutama ketika penulis mencelah di antara kenderaan sebaik mula menempuh kesesakan.

Posisi tempat duduk yang tinggi manakala fork hadapan yang panjang membolehkan jarak penglihatan penunggang lebih luas.

Padanan cermin sisi yang tinggi pula memastikan pandangan belakang lebih jelas, terutama kenderaan yang datang dari arah berkenaan.

Sepanjang menunggang uji, motosikal ini tetap menjadi perhatian apabila deruman ekzos dengan tabung baru menjadi perhatian pengguna jalan raya lain.

Walaupun pelananya tinggi, capaian kaki ketika berhenti adalah normal seperti motosikal biasa. Dikuasakan enjin 471cc kembar sebaris, kuasa disalurkan pada roda belakang sangat mencukupi terutama ketika penulis memerlukan tujahan enjin lebih tinggi untuk memecut.

Nadi CB500X menghamburkan kuasa 47hp pada 8,500rpm manakala tork setinggi 43.4Nm pada 7,000rpm. Kuasa dibekalkan sudah cukup membuatkan jentera ini bergerak pantas tanpa sebarang masalah.

Penulis turut menguji kelajuan jentera dua roda ini di lebuh raya dan ternyata kuasa dihamburkan membolehkan motosikal ini memecut melebihi 150km/j.

Penghadang angin hadapan walaupun tidak boleh dilaras tetapi ketinggiannya mencukupi untuk membantu jentera kekal stabil pada kelajuan tinggi.

Tunggangan waktu malam bukanlah satu masalah apabila ia dibekalkan sepasang lampu LED untuk lampu utama dan brek.

Ini menambahkan lagi nilai eksklusif pada jentera touring sport ini.

Padanan warna hitam matte menyerlahkan lagi susuk CB500X yang tegap selain menonjolkan lekukan tajam dan kemas pada setiap inci tubuhnya.

Oleh kerana jentera ini sesuai untuk perjalanan jarak jauh dan sederhana, CB500X kekal stabil dan sistem gantungan hadapan teleskopik 41mm dengan jarak gerakan 140mm manakala ‘Prolink single shock’ boleh dilaras pada suspensi belakang beraksi cemerlang.

Sistem brek turut dipertingkatkan apabila dipadankan brek cakera dwipiston 320mm sementara brek belakang cakera berombak dengan kaliper piston tunggal 240mm. Sistem anti-kekunci (ABS) turut membantu jarak pemberhentian lebih singkat.

Tidak mustahil jentera ini turut menjadi perhatian penunggang wanita yang inginkan sebuah motosikal serba guna sama ada berulang-alik ke tempat kerja atau mengharungi perjalanan jauh.

Seminggu ‘meminjam’ daripada Boon Siew Honda Sdn Bhd, penulis mendapati CB500X menawarkan keselesaan, penjimatan bahan api dan motosikal serba boleh untuk sebarang tujuan. Dengan harga di bawah RM40,000, pastinya ia satu pembelian berbaloi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 5:49 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »