AZIZ (dua dari kiri) melancarkan Sinotruk T5G sambil disaksikan Gwee (kiri), Emran (kanan) dan Lau.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Syarikat konglomerat tempatan, Sendok Group memperluaskan empayar perniagaannya dengan melancarkan trak komersial pertengahan dan berat, Sinotruk T5G bagi memenuhi keperluan pasaran semasa.

Model dibangunkan di bawah Sinotruk T-Series ini mendapat suntikan teknologi terkini daripada pengeluar jentera berat MAN Jerman yang menawarkan prestasi terbaik dan tahan lasak tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan serta penjimatan bahan api.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Sendok Group, Datuk Emran Kadir dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Sendok Group, Gwee Bok Wee dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Sendok Group, Lau Kiat Hoon.

Trak Sinotruk T5G menggunakan enjin MC07.31-30 7L Euro III yang menawarkan kuasa 310hp pada 2,300rpm manakala tork maksimum 1,230Nm pada 1,200 hingga 2,300rpm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi ZF 10 kelajuan manakala penggunaan bahan api purata sekitar 3.5 kilometer seliter.

Antara pembaharuan termasuk ruang kabin bahagian pemandu dilebarkan untuk pandangan lebih jelas. Model ini dibina sepenuhnya di kilang pemasangan kenderaan milik Sendok Group, R&A Commercial Vehicle Sdn Bhd (RACV).

Sinotruk adalah jenama kenderaan trak komersial terbesar dari China dikenali sebagai China National Heavy Duty Truck Group Co Ltd (CNHTC). CNHTC pembuat dan pengeksport terbesar trak komersial berat dari China.

Sinotruk T5G Prime Mover ditawarkan jaminan dua tahun atau 200,000km yang mana terdahulu manakala setahun jaminan atau 100,000km bagi model trak kargo dan Mixer sementara satu tahun jaminan atau 60,000km bagi model Tipper. Harga jualan ditawarkan bermula dari RM208,000 bagi Sinotruk T5G Chasis Cab.

Sendok Group mempunyai lebih daripada 30 syarikat gabungan dalam perdagangan, pembuatan dan pembinaan, pemasaran, jualan dan selepas jualan serta kewangan dan insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 1:27 AM