TOYOTA Celica TA35 tampak gah.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my


Toyota Celica Coupe kali pertama dilancarkan ketika Tokyo Motor Show 1970 dengan pengenalan beberapa varian berbeza seperti 1.4ET, 1.6LT, 1.6ST dan 1.6GTV.

Kali ini, penulis berkesempatan melihat jentera TA35 Coupe 1975, milik Wan Mohd Asri Wan Tahir, 45, yang cukup berbeza daripada asal.

Jentera digelar Black Dragon oleh pemiliknya masih mengekalkan pelbagai komponen asal pada bahagian luaran, namun penambahan dapra atau ‘fender flare’ bersaiz mega binaan khas dari Thailand, menjadikan model ini tampak ‘sado’.

Ditambah padanan warna hitam mati dan rim Atara Racing 17 inci menambahkan lagi ciri maskulin jentera.

Bahagian bampar hadapan pula, penambahan ‘penyodok’ khas menjadikan TA35 Coupe ini lebih unik dan menarik.

Menjengah ke ruang enjin, jentera masih mengekalkan enjin asal 2T Twin Carb bersesaran 1,600cc, namun sudah melalui proses naik taraf.

Antara perubahan dilakukan pemilik berasal dari Seberang Prai, Pulau Pinang ini termasuklah penambahan komponen enjin berprestasi seperti Over Head Valve (OHV), Single Carb Push Road dan Dual Over Head Cam (DOHC) dari 2T-G.

Model ini turut ditambah Stroker 3T 1,800cc dan karburator Twin Weber 40DCOE, manakala keselarasan bahan api dikawal kabel plug NGK R09.

Kuasa pecutan dari roda belakang menggunakan klac Daikin Heavy Duty, manakala ekzos dirombak kepada saluran terus bersaiz dua inci.

Sudut dalaman asal masih mengekalkan ciri asli, namun penukaran tempat duduk asal kepada bucket SSCUS menjadikan jentera lebih bergaya.

Dalam pada itu, kawalan dan keseimbangan kereta dikawal suspensi TRD boleh laras.

Ketika ditanya mengenai kos pemilikan dan ubah suai jenteranya, Wan Mohd Asri yang juga ahli Celica Classic Club Malaysia (CCCM) mengaku melabur lebih RM35,000 untuk membentuk jenteranya seakan American Muscle Car.

INFO

TOYOTA CELICA TA35 COUPE 1,600ST 1975

• Enjin 2T dinaik taraf

• Dual Over Head Cam (DOHC) 2T-G

• Over Head Valve (OHV)

• Push Road Single Carb

• Stroker 3T 1,800cc

• Karburator Twin Weber 40DCOE

• Cable Plug NGK R09

• Klac Daikin Heavy Duty

• Ekzos saluran terus 2 inci

Dapra@Fender Flare custom Thailand

• Penyodok binaan khas

• TRD Suspensi boleh laras

• Rim 17 inci Atara Racing

• Kos Modifikasi : RM35,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:10 AM