TRAK pikap milik William nampak lebih ganas dengan keadaan pintu hadapan yang diubah suai menjadi sayap seperti jentera Transformers.
Fatin Farhana Japre
metahad@hmetro.com.my


Kewujudan trak pikap Toyota Hilux dengan cat semburan milik William Tee, 42, tidak asing lagi pada mata peminat autoshow apabila berkunjung ke mana-mana pameran di sekitar Johor.

Meskipun sudah berusia, ia bukan penghalang bagi William meneruskan minatnya mengubah suai trak pikap kesayangannya sejak dibeli empat tahun lalu.

Keunikan sebenar Hilux ini dapat dilihat sebaik saja bahagian belakangnya dibuka. Jika pemilik Hilux lain menggunakan bahagian belakang untuk mengangkut barangan, William pula mengubah suai dengan memadankan sistem audio memenuhi segenap ruang yang ada.

Dari jarak sejauh 500 meter, Toyota Hilux ini menjadi tumpuan ramai kerana bunyi audio yang kuat menggunakan dua sistem audio berasingan iaitu SQ dan SPL. Di bahagian kokpit pula, pemain Kenwood DDX630W dipasang dan disambungkan dengan pemproses Audison Bit Ten.

Selain itu, dua unit amplifier The Punch, amplifier 4 channel the Punch THC-1204 dan amplifier 2 channel The Punch THC-1002 dipasang untuk ‘menghidupkan’ mid bass dan tweeter dari The Punch.

William berkata, konsep yang digunakan untuk mengubah suai jentera itu adalah konsep ekstrem dengan menampilkan imej garang di bahagian luar dan VIP di bahagian dalaman.

“Bagi memberi impak garang pada jentera ini, saya memilih cat semburan bertemakan serigala dengan padanan warna biru gelap dan hitam, memasang rim 20 inci di empat tayar dan mengubah suai sistem audio memenuhi bahagian belakang trak dengan 12 woofer jenama Stealth.

“Bahagian pintu hadapan pula diubah suai menjadi seakan-akan ‘sayap’ apabila dibuka kerana saya amat meminati jentera dalam filem Transformers. Koleksi dan kos ubah suai trak pikap ini sahaja menelan belanja lebih RM15,000,” katanya.

Beliau berkata, hiasan dalaman turut ditukar seperti kusyen dan bahagian atas bumbung kepada material kulit dengan aksesori berlian bagi mewujudkan suasana dalam kereta VIP.

“Skrin LCD kecil turut dipasang pada kepala tempat duduk hadapan untuk tontonan penumpang tempat duduk belakang.

“Malah penutup but disalut karbon dan seunit layar 42 inci tv LCD Sharp dipasang serta boleh dilihat apabila but dibuka,” katanya.

Menurutnya, pengubahsuaian trak pikap ini lebih tertumpu kepada aksesori luaran, dalaman dan sistem audio saja manakala enjin masih menggunakan yang asal.

“Meskipun tampak garang, jentera ini boleh dipandu untuk kegunaan harian dan melalui laluan lasak tanpa masalah.

“Jentera ini juga pernah terbabit dengan misi bantuan kepada mangsa bencana alam serta perarakan Hari Kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 11:10 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »