AHMAD@Salim (dua kanan) bersama OTHMAN (dua kiri) dan Zulkefli Mohamed (tengah) melepaskan konvoi Tittipan Kasih Harian Metro 2017 ke Gelang Patah di Balai Berita, Bangsar.
TOYOTA Hilux yang digunakan untuk membawa bantuan pasca banjir kepada penduduk Kampung Gintong.
SUKARELAWAN Harian Metro membawa Kotak Rezeki menaiki kenderaan untuk diedarkan kepada penerima bantuan sempena Program Titipan Kasih Harian Metro 2017 di Masjid Al-Irshad, Desa Paya Mengkuang, Gelang Patah, Johor Bahru.
KETUA Komunikasi Korporat NSTP Wan Abdillah Wan Nawi (kiri) bersama Pengarang Digital Harian Metro Munir Ana’am Zuljaddan (dua dari kiri) menyampaikan Kotak Rezeki kepada anggota Kastam di Kompleks CIQ Sultan Abu Bakar ketika Program Titipan Kasih Harian Metro Khas Ramadan 2017.
MUNIR Ana’am (tiga dari kanan) menyampaikan Kotak Rezeki kepada anggota Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri sambil diperhatikan Wan Abdillah (enam dari kiri) pada majlis pengagihan Kotak Rezeki sempena Program Titipan Kasih Harian Metro Khas Ramadan 2017.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Buat kali pertama, UMW Toyota Motor Sdn Bhd menjadi kenderaan rasmi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM)-Khas Ramadan yang berlangsung di dua lokasi sepanjang bulan puasa kali ini.

Sepanjang program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, UMW Toyota Motor memperuntukkan tujuh kenderaan pelbagai jenis antaranya Camry Hybrid, Fortuner, Hilux dan Innova untuk kegunaan sukarelawan Harian Metro.

Semua tajaan diserahkan wakil UMW Toyota Motor, Pengurus Divisyen Pemasaran Media Zulkefli Mohamed kepada Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad@Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat.

Program pertama diadakan di Masjid Al-Irshad, Desa Paya Mengkuang, Gelang Patah, Johor pada 9 dan 10 Jun lalu, manakala program kedua di Masjid Jamek Baru, Gopeng, Perak pada 18 dan 19 Jun ini.

Kenderaan pacuan empat roda Hilux memang sangat berguna kerana keupayaan membawa bebanan yang banyak antaranya beras, keperluan dapur dan barangan am, selain mampu mengharungi sebarang permukaan jalan.

Sebanyak empat Hilux disediakan UMW Toyota Motor membabitkan varian 2.8G dan 2.4G yang berjaya menggalas tugas dengan cemerlang. Sepanjang program itu juga, sebanyak 600 individu diraikan terdiri daripada 400 anak yatim dan 200 ibu tunggal serta miskin.

Terdahulu, UMW Toyota Motor sering melaksanakan Program CSR dan pada Februari lalu apabila 300 penduduk daripada 45 keluarga yang terjejas akibat banjir di Kampung Gintong, Jerantut, Pahang, diberikan bantuan.

Program dikenali sebagai Toyota Flood Assist Programme (TFAP) turut mendapat kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Sebanyak tiga unit pikap Hilux diguna membabitkan 12 sukarelawan.

Antara bantuan pasca banjir diserahkan ialah 50 kotak barangan basah dan kering kepada penduduk terjejas. Ketika program, penduduk turut mengadakan jamuan makan, selain meninjau tempat yang masih terjejas akibat banjir.

Menurut Ketua Kampung Gintong Azhar Daud, bantuan pasca banjir daripada UMW Toyota Motor adalah yang pertama diterima penduduk kampung selepas banjir.

Selain program CSR berterusan, UMW Toyota Motor turut aktif melaksanakan pelbagai program bersifat kemasyarakatan.

Antaranya pertandingan Toyota Dream Car Art, Toyota Eco Youth (Alam Sekitar) dan Konsert Toyota Classics.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 1:18 AM