FIRDAUS melakukan proses penghasilan ekzos.
SESUAI untuk motosikal berkuasa tinggi.
EKZOS binaan khas disesuaikan mengikut gaya tunggangan.
Farith Zahir
farith@tv9.com.my


Memiliki motosikal berkuasa tinggi tentu sekali menjadi idaman semua, namun tidak lengkap sekiranya tiada sebarang pengubahsuaian bagi memastikan jentera dua roda itu sentiasa hebat di jalan raya.

Selain deruman enjin, ekzos adalah perkara yang dititikberatkan pemilik motosikal berkuasa tinggi sehingga ada yang sanggup melaburkan wang ribuan ringgit.

Tetapi bukan sekadar bunyi, pemilik perlu mengetahui ciri dan kemampuan ekzos yang boleh membuatkan motosikal mereka gah ketika ditunggang di jalan raya.

Antara ciri yang perlu diketahui adalah ukuran diameter yang diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain reka bentuk dan pertambahan kuasa kuda.

Jangan kerana jenama, anda terlepas pandang perkara lain yang perlu diambil kira dan tertipu dengan tawaran kedai menjual ekzos.

Menariknya, minat mendalam terhadap hobi permotoran menyebabkan pemilik motosikal mengubah suai bahagian dalaman ekzos untuk memiliki bunyi tersendiri.

Pengasas MF Exhaust Motorsport, Muhammad Firdaus Abdul Wahab berkata, ekzos motosikal perlu dipilih berdasarkan cara tunggangan dan jangan keliru kerana jenama.

“Cara tunggangan dimaksudkan adalah untuk kegunaan perlumbaan litar, harian, drag race (perlumbaan seret), perjalanan jauh, pertandingan autoshow (kategori modifikasi) dan banyak lagi.

“Jika tersalah pilih, ia akan memberikan kesan buruk terhadap keupayaan motosikal itu sendiri termasuk gangguan aliran petrol, kerosakan enjin dan sudah tentu pembaziran wang,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Bagi mereka yang masih tercari-cari bengkel yang menyediakan khidmat jualan dan modifikasi ekzos terbaik di ibu negara, anda boleh berkunjung ke MF Exhaust Motosport di Lot 125, Kampung Melayu Sungai Buloh, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 1:22 AM