INFINITI Q60.
REKAAN ‘Powerful Elegence’ menerusi aliran garis badan menarik dan maskulin.
RUANG kokpit yang sporty.
RUANG dalaman mewah.
PAPARAN meter kemas.
SIRIP sisi yang bergaya.
EKZOS bergaya.
INFINITI Q60 sesuai untuk individu yang mahukan kelainan.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Sebut sahaja jenama Infiniti, ramai yang tertanya asal usul kenderaan ini sama ada dari China, Jepun atau Eropah.

Tetapi apabila menyebut pasukan Formula Satu (F1) Red Bull Racing atau Sebastian Vettel, ramai yang mengingati jentera biru dipandunya satu ketika dahulu.

Sebenarnya, Inifiniti adalah kenderaan premium daripada Nissan dan jenama ini pernah menaja pasukan F1 Red Bull selama dua tahun bermula 2013 dengan nama Infiniti Red Bull Racing.

Lihat sahaja jenama ini terpampang di segenap sudut jentera F1 dipandu Vettel dan rakan sepasukannya, Mark Webber dan Daniel Ricciardo pada masa itu. Ternyata Infiniti bukan calang-calang kenderaan kerana mampu melakar nama pada jentera F1.

Peluang memandu uji model terbaru Infiniti Q60 yang diklasifikasikan sebagai kenderaan sport coupe premium memang mengujakan.

Perjalanan lebih 350 kilometer bermula dari Pusat Pameran Infiniti di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur menuju Georgetown, Pulau Pinang melalui Lebuhraya Utara-Selatan sebelum merentasi Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau Jambatan Kedua.

Oleh kerana sesi pandu uji kali ini hanya membabitkan laluan di lebuh raya, hanya pecutan dan kepuasan pemanduan yang diberi perhatian.

Sejak mula bergerak keluar dari ibu kota, susuk tampan Q60 sentiasa menjadi jelingan pemandu dan pengguna jalan raya.

Model sport coupe generasi ketiga ini memperlihatkan rekaan ‘Powerful Elegence’ menerusi aliran garis badan menarik dan maskulin.

Penampilan itu jelas menggambarkan pergerakan dan kuasa menyakinkan daripada Infiniti. Gril hadapan dengan arca berkembar dan tiang C berbentuk sabit yang sedikit menonjol menyerlahkan kualiti dinamik Q60.

Perumah lampu hadapan seakan-akan mata manusia dilengkapi bersama ‘anak mata’ LED dengan teknologi ‘pandu arah’ membolehkan cahaya dipancarkan secara seimbang.

Rim aloi rekaan baru bersaiz 19 inci selain titik graviti rendah melengkapi bentuk jentera sport coupe ini.

Menerjah ke ruang dalaman, rekaan papan pemuka lebih fokus terhadap pemandu dengan konsol tengah menempatkan dua skrin sentuh bersaiz lapan dan tujuh inci yang menjadi sebahagian sistem kawalan bersepadu InTouch - generasi terkini teknologi infotainment daripada Infiniti.

Lunak suara dan gema muzik padu melalui 13 pembesar suara daripada Bose Performance memastikan pemandu dan penumpang tidak kebosanan sepanjang perjalanan.

Kehadiran dua skrin sentuh membolehkan jumlah butang diminimumkan, seterusnya menawarkan penampilan lebih kemas.

Kemasan ‘brushed aluminium’ pada konsol tengah dan pintu menawarkan ciri moden serta berani manakala cahaya lampu LED lembut menyerlahkan ciri mewah.

Sebaik dipacu di lebuh raya, enjin aloi empat silinder dengan sistem pengecas turbo bersesaran 2.0L pacuan roda belakang pantas memainkan peranannya.

Berkuasa 211 kuasa kuda (hp) pada 5,500rpm dan daya kilas 350Nm pada 1,250 hingga 3,500rpm, Q60 mampu memecut sehingga 235km/j. Pecutan dari kedudukan pegun ke 100km/j hanya mengambil masa sekitar 7.3 saat.

Gabungan transmisi automatik tujuh kelajuan bersama Adaptive Shift Control (ASC) membolehkan kotak gear mengesan sebarang perubahan topografi jalan sama ada berbukit dan berselekoh, seterusnya mengubah suai corak penukaran gear berdasarkan maklum balas pemandu. Hebat, bukan?

Meskipun digerakkan enjin berkuasa, aspek penjimatan tetap diberi perhatian apabila bacaan penggunaan bahan api hanya sekitar 7.5L/100km untuk pemanduan bandar dan lebuh raya.

Penggunaan tayar run-flat bersaiz 255/40R19 membolehkan pemandu mengawal jentera sekira­nya hilang kawalan selain meningkatkan cengkaman dan pengendalian dalam semua situasi.

Aspek keselamatan juga tidak disisihkan apabila ABS, BA dan EBD adalah ciri standard yang membolehkan pemandu mengawal serta memberhentikan kenderaan dalam situasi kecemasan.

Selain beg udara hadapan, pemandu dan penumpang terus dilindungi oleh beg udara sisi dan bumbung bagi mengelak kecederaan parah.

Model ini juga dilengkapi Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Ini adalah kenderaan yang sesuai bagi individu yang mahukan sebuah jentera berlainan berbanding jenama lain buatan Eropah.

Berharga RM308,800 tanpa insurans, jentera ini turut ditawarkan dengan jaminan selama tujuh tahun tanpa had perbatuan.

INFO

INFINITI Q60

• Enjin: 2.0L DOHC 16 injap empat silinder turbo caj

• Kuasa maksimum: 211hp@5,500rpm

• Tork maksimum: 350Nm@1,250 hingga 3,500rpm

• Transmisi: Automatik tujuh kelajuan dengan ASC

• Ciri keselamatan: ABS, BA, EBD, VDC, TCS, TPMS dan beg udara hadapan, sisi serta bumbung

• Harga: RM308,800 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 1:32 AM