ON (kiri), Rozaida dan Joseph menunjukkan Monolock B32 Bold.
MONOLOCK B32 Bold yang dipasang pada motosikal peserta.
WAKIL media yang menyertai Tunggangan Penghargaan Media Givi ke Port Dickson.
PESERTA bergaya bersama Monolock B32 Bold ketika Tunggangan Penghargaan Media Givi ke Port Dickson.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Pengeluar barangan aksesori motosikal terkemuka dari Itali, Givi memperkenalkan kotak barang (Boks) terbaru Monolock B32 Bold yang sesuai untuk motosikal kapasiti lebih rendah terutama bawah 250cc.

Pengarah Urusan Givi Asia, On Hai Swee berkata, kotak berkapasiti 32 liter itu menggunakan bahan, Polypropylena’ (PP) yang terbukti lasak terhadap keadaan cuaca di negara ini.

“Menggunakan sistem kunci ‘Clack’, produk terbaru ini memudahkan pengguna untuk membuka dan mengunci tanpa memerlukan kunci.

“Reka bentuk bersegi sengaja dipilih kerana kajian menunjukkan bentuk berkenaan lebih diminati berbanding bujur,” katanya ketika pelancaran di Port Dickson, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Operasi Antarabangsa Givi, Joseph Perucca. Monolock B32 Bold berharga RM210 seunit tanpa GST.

Terdahulu, kira-kira 25 wakil media permotoran menyertai Tunggangan Penghargaan Media Givi ke Port Dickson, Negeri Sembilan yang kebanyakannya menggunakan motosikal berkuasa bawah 250cc. Program ini adalah kali pertama dianjurkan Givi Asia dengan setiap peserta dibekalkan dengan kotak Monolock B32 Bold.

Perjalanan itu membabitkan lebih 200 kilometer bermula dari Givi Point Jalan Ipoh, Kuala Lumpur menghala ke Hotel Thistle Port Dickson. Sepanjang konvoi, peserta terpaksa berdepan hujan lebat sehingga terpaksa berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.

Dalam pada itu, Givi turut memperkenalkan bas persiaran dua tingkat ‘The Red Explorer’ yang digunakan sebagai pameran bergerak dan hospitaliti untuk acara permotoran disertai Givi antaranya MotoGP dan Cub Prix.

Sementara itu, Pereka Bentuk Givi Asia, Rozaida Ahmad Zaki, 31, berkata, Monolock B32 Bold sesuai untuk motosikal berkapasiti rendah 250cc ke bawah.

“Rekaan Boks ini ringkas, namun sesuai untuk keperluan pengguna tempatan khasnya kepada pemilik motosikal berkuasa rendah untuk kegunaan harian.

“Rekaan ini meng­inspirasikan gaya terbaru, selain penggunaan PP sebagai bahan komponen utama yang sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 1:06 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »