Badrila Jamlus
jbad@hmetro.com.my


Terlalu banyak yang ingin diperkatakan mengenai model buatan Jerman ini, sama ada dari segi reka bentuknya hingga ke teknologi ditawarkan dalam sebuah kenderaan berkonsepkan SAV yang dilancarkan di pasaran tempatan, Jun tahun lalu.

Andai dilihat spesifikasi lengkapnya, model terbaru BMW X5 xDrive40e yang menjadi keluarga terkini dalam siri BMW X sarat dengan teknologi terbaru yang memang sinonim dengan ciri kereta buatan Eropah.

Model ini berbeza dengan model terdahulu kerana ia adalah kenderaan ‘plug-in hybrid’ premium terkini yang dipasang sepenuhnya (CKD) iaitu model ke-11 yang menyertai portfolio CKD di kemudahan BMW Group Malaysia di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

Apa yang menarik ialah tanda harga model ini yang dianggap berbaloi untuk dimiliki kerana jika model terdahulu, BMW X5 dipasarkan pada harga lebih RM500,000 iaitu lebih mahal berbanding X4, dengan status sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), X5 kini dipasarkan pada RM388,000 tanpa insurans.

Gabungan kawalan rangkaian kuasa hibrid pintar menawarkan prestasi luar biasa dan mobiliti elektrik sepenuhnya dengan pelepasan asap sifar, selain memperkenalkan pengalaman pemanduan baru, bersama kombinasi pemanduan dinamik serta elektrik sepenuhnya dalam sesebuah SAV.

BMW X5 xDrive40e memiliki sistem pacuan yang didorong enjin petrol empat silinder bersesaran dua liter dengan teknologi BMW TwinPower Turbo dan sebuah motor elektrik bersepadu segerak yang digabungkan bersama transmisi Steptronic lapan kelajuan.

Model ini juga pernah memenangi anugerah Enjin Terbaik Antarabangsa sebanyak tiga kali. Memang layak untuk kereta ini menang kerana jika anda melangkah masuk pasti sukar mendengar deruman enjinnya setiap kali butang menghidupkan enjin ditekan. Sungguh senyap.

Ia menampilkan teknologi pengecas turbo TwinScroll, High Precision Injection, injap pemasaan boleh ubah VALVETRONIC dan kawalan aci sesondol boleh ubah pada bahagian pengambilan serta ekzos.

Enjinnya berupaya menjana kuasa maksimum 245hp dan tork 350Nm, manakala motor elektrik menawarkan kuasa mencecah 83kW dengan tork maksimum 250Nm yang boleh diperoleh secara serta-merta.

Gabungan rangkaian kuasa berkenaan membolehkan BMW X5 xDrive40e itu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa cuma 6.8 saat. Kelajuannya dihadkan secara elektronik pada 210km/j dan tork maksimum 450Nm.

Dalam sesi PANDU UJI Vroom mendapati, ketika berada dalam mod elektrik sepenuhnya, SAV itu mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 120km/j.

Untuk mengecas, mudah sahaja iaitu sambungkan kabel elektrik pada bahagian depan kiri kenderaan dengan mana-mana plug tiga pin sama ada di rumah atau bangunan selain stesen pengecas yang sedia dibina di beberapa pusat beli-belah atau lokasi strategik lain.

Sistem ekzos BMW X5 xDrive40e pula mempunyai rekaan paip berkembar dengan hujungnya berbentuk trapezoidal. Ciri dinamik model itu dipertingkatkan menerusi Pakej M Sport Aerodynamic yang hadir sebagai ciri standard dengan badan kenderaan ini diserlahkan dengan BMW Individual Exterior Line Aluminium selain rim aloi ringan dua jejari M bersaiz 19 inci.

Pecutan dinamik luar biasa BMW X5 xDrive40e bagaimanapun membolehkan penjimatan bahan api sekitar 3.3 liter bagi setiap 100 kilometer dan emisi karbon dioksida hanya 77 gram sekilometer.

Bagaimanapun, tanpa mengira nisbah kuasa dari enjin atau motor elektrik, sistem xDrive memastikan cengkaman yang terbaik dalam apa juga cuaca dan kondisi permukaan jalan raya.

Melangkah ke ruang dalaman pula, ciri kemewahan dapat dilihat menerusi kerusi balutan kulit dan papan pemuka yang sarat dengan suis kawalan sama ada di bahagian pemandu mahupun paparan skrin bersaiz 10.25 inci untuk kemudahan penumpang belakang.

Talaan kenderaan serta kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi suis Experience Control dan eDrive. Butang eDrive yang terletak di konsol tengah membolehkan pemandu untuk menukar di antara tetapan AUTO eDrive, MAX eDrive atau SAVE Battery. Dalam tetapan AUTO eDrive, enjin dan motor elektrik bekerjasama dalam kecekapan paling tinggi.

Apabila bertukar ke mod MAX eDrive, pemandu akan bergerak dalam mod elektrik sepenuhnya yang menjanjikan jarak maksimum 30km dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 120km/j.

Mod ketiga, SAVE Battery membolehkan pemandu menjimatkan atau meningkatkan simpanan tenaga bateri bervoltan tinggi untuk kegunaan berikutnya.

Bateri bervoltan tinggi menawarkan kapasiti tenaga sehingga 9.2 kWh. Kuasanya boleh ditambah menggunakan soket kuasa biasa di rumah. Apabila dicaj menggunakan soket kuasa konvensional, bateri ini boleh dicaj penuh daripada kosong dalam masa 3 jam 50 minit.

Tidak ketinggalan ciri mod pemanduan turut ditawarkan sebagai ciri standard yang berfungsi mengaktifkan mod talaan kenderaan seperti Comfort, Sport dan Eco Pro.

Banyak opsyen lain ditawarkan seperti sistem bantuan pemanduan yang terdiri daripada Lane Departure Warning yang mana stereng kereta akan bergetar sendiri sekiranya pemandu tiba-tiba keluar dari lorong garisan putih di jalan raya. Ciri lain ialah City & Pedestrian Collision Warning, Park Distance Control (PDC) pada bahagian hadapan dan belakang yang memberi maklum balas dalam bentuk visual dan akustik, selain Surround View serta kamera belakang.

BMW X5 xDrive40e didatangkan dalam warna perak (Glacier Silver), putih (Mineral White), kelabu (Space Grey) dan hitam (Carbon Black) bersama pilihan upholsteri kulit Dakota Terra atau Dakota Black.

Memandangkan BMW X5 xDrive40e ini adalah unit CKD, ia juga menerima insentif kerajaan dan ditawarkan pada harga RM388,800 iaitu selepas ditolak cukai insentif kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ia adalah harga atas jalan tanpa insurans dan turut didatangkan dengan waranti lima tahun tanpa perbatuan terhad bersama Program Servis Berkala Percuma dan Program Waranti Tayar BMW. Waranti bagi bateri plug-in hybrid pula ialah enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 3:58 AM
RUANG simpanan yang luas.
2. PERUMAH lampu depan sporty dengan identiti BMW.
2. PERUMAH lampu depan sporty dengan identiti BMW.
2. PERUMAH lampu depan sporty dengan identiti BMW.
2. PERUMAH lampu depan sporty dengan identiti BMW.
Teruskan ke laman Harian Metro »