AKSI pengunjung bergambar dengan jentera Volkswagen yang dipamer di OMG9.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my


Penganjuran Olskool Mega Gathering (OMG) selama sembilan tahun berturut-turut bermula dari 2009 hingga 2017 jelas membuktikan hubungan akrab dan semangat setia kawan sesama ahli serta pemilik jentera lama.

Pemudah cara Olskool.my Malaysia, Abdul Aziz Mokhtar@Atang berkata, OMG turut dikenali sebagai ‘Hari Raya Olskoolers’ (perhimpunan pemilik dan peminat jentera) dengan penganjuran di pekarangan tempat letak kereta Giant Leisure Mall, Johor Bahru pada 30 September 2017 berjaya mengumpul hampir 400 jentera berusia 33 tahun dan ke atas.


SEBAHAGIAN jentera lama ditampilkan dalam OMG9.

Menurutnya, acara OMG kesembilan (OMG9) kali ini diterajui oleh Olskool.my Johor atau Oldskool.my Johor Tribe (OSJT) dengan kali kedua Johor dipilih menjadi tuan rumah yang mana penganjuran pertama pada 2010 di Mersing.

Dengan konsep hampir sama iaitu jentera 1984 atau lebih awal, himpunan jentera lama kali ini turut diselitkan dengan pemilihan 11 kategori pilihan penganjur termasuk Best Support Group dan Best Of The Best.

Dua kategori khas itu dimenangi oleh Kelab Pemilik Mitsubishi Lancer (PEMILANC) manakala jentera Best Of The Best di menangi Mazda RX7 Savana.


MAZDA RX7 Savana dipilih sebagai Best Of The Best OMG9.

“Suasana di OMG9 kali ini agak menarik kerana konsep kereta lama yang hadir, bukanlah hanya mengekalkan keaslian jentera sebaliknya ada yang diubah suai secara ekstrem dan berbeza,” katanya.

Dalam acara itu, pelbagai jenis jentera buatan Jepun dipamerkan dengan konsep JDM seperti Toyota, Datsun, Mitsubishi, Nissan dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan juga jentera buatan Eropah seperti Fiat, Ford, Volvo, Volkswagen dan sebagainya.


SEBUAH jentera lama dengan gaya modifikasi unik dan tersendiri.

Berikutan penganjuran kali ini yang dibuat di Johor, OMG9 turut menerima sokongan dan kehadiran komuniti pemilik kereta lama dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia yang turut menyokong program ini.

Kehadiran pengunjung difahamkan melebihi 2,000 dan jelas membuktikan jentera lama ini masih mempunyai peminat tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 12:09 AM